fbpx

K2

Pasta paling payah dihasilkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEGINILAH lembaran su filindue yang telah siap dijalinkan.

DI sebuah bandar kecil Nuoro yang terletak di Pulau Sardinia, Itali tersimpan pasta yang jarang ditemui di dunia dan pembuatannya sungguh unik.

Pasta tersebut dibuat sepenuhnya menggunakan kudrat tangan manusia yang mana boleh dihasilkan oleh tiga orang sahaja di dunia ini.

Dikenali sebagai su filindeu dalam dialek masyarakat Sardo Sardinia, pasta itu disebut sebagai fili di dio dalam bahasa Itali yang jika diterjemahkan bermaksud ‘benang tuhan’.

Pasta tradisional itu dikaitkan dengan pesta La Festa di San Francesco iaitu sebuah ritual keagamaan kuno yang disambut setiap tahun pada bulan Mei.

Pesta itu masih diteruskan sehingga kini yang disambut sebanyak dua kali dalam setahun iaitu Mei dan Oktober.

Peserta perlu memasuki pedalaman secara berjalan kaki dari bandar Nuoro ke Kampung Lula semata-mata untuk menikmati pasta yang jarang ditemui itu.

Pada 200 tahun lalu, satu-satunya cara untuk mencuba hidangan unik itu adalah dengan menyelesaikan ‘ziarah’ sejauh 33 kilometer sama ada berjalan kaki atau menaiki kuda dari Nuoro ke Kampung Lula.

Hidangan tersebut kini diancam kepupusan dengan hanya tiga wanita dalam dunia tahu membuatnya, Mereka berusaha ‘menyelamatkan’ pasta itu dengan menyediakan lebih banyak akses untuk mempelajarinya.

Salah seorang daripada mereka ialah Paola Abraini, 67, yang mempelajari kemahiran membuat pasta benang tuhan itu daripada ibunya.

“Teknik membuat pasta ini adalah warisan keluarga saya yang diturunkan dari generasi ke generasi sejak beratus tahun lalu.

“Saya telah mengajarnya kepada dua orang anak perempuan tetapi mereka kurang berminat dan sabar untuk meneruskan tradisi keluarga kami,” katanya ketika ditemu bual media baru-baru ini.

Pun begitu, Paola berjaya menurunkan ilmu pembuatan hidangan tradisi itu kepada anak saudara dan kakak iparnya.

Namun apa yang merisaukannya, kakak ipar dan anak saudaranya itu tidak mempunyai zuriat untuk menurunkan ilmu pembuatan pasta tersebut sehingga su filindeu kini berada dalam bahaya dan bakal lenyap.

PAOLA menghasilkan pasta ini yang kelihatan begitu halus seperti benang-benang.

Ekoran sangat terdesak untuk menyelamatkan su filindeu, Paola menemui pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menyuarakan hasrat untuk mengajarnya kepada pelajar sekolah.

Mereka memberitahu bahawa sekolah tidak mempunyai dana untuk menampung pembelajaran tersebut.

Lantaran itu, Paola sendiri menjemput para pelajar sekolah untuk belajar membuat pasta tersebut di rumahnya.

“Tetapi ia tidak berjalan dengan baik kerana mereka merasakan terlalu banyak kerja perlu dilakukan untuk menghasilkan pasta ini.

“Akhirnya mereka tidak kembali untuk meneruskan pembelajaran,” ceritanya yang berpengalaman lebih empat dekad membuat su filindeu.

Walaupun terpaksa menempuh pelbagai halangan, dia tidak mahu menyerah kalah sebelum diundang ke Rom untuk membuat pertunjukan menghasilkan su filindeu.

Dia juga membuat pasta tersebut di beberapa restoran di sekitar ibu kota Itali itu untuk disajikan kepada orang ramai buat pertama kali demi memastikan hidangan tersebut terus ‘hidup’.

Pasta su filindue hanya menggunakan tiga bahan iaitu gandum durum semolina, air dan garam tetapi proses membuatnya sangat sukar kerana semua dibuat menggunakan tangan serta sangat melelahkan.

“Selepas mencampurkan semua bahan-bahan tadi, doh perlu diuli dengan sangat lama bagi memudahkannya untuk ditarik dan diregangkan bagi menghasilkan helaian pasta sangat nipis serta panjang.

“Apabila tepung itu menjadi fleksibel, maka proses meregang akan dimulakan dan ia merupakan kunci penting untuk menghasilkan pasta ini,” terangnya yang mengambil masa beberapa tahun untuk menghasilkan su filindeu sempurna.

Helaian-helaian daripada doh itu kemudian akan dibahagikan kepada lapan bahagian yang panjang sebelum dilipat, dipotong dan ditarik lagi.

Proses tersebut perlu diulang sebanyak 32 kali sehingga 256 helai ‘benang’ pasta yang nipis terhasil.

Paola satu-satu orang yang boleh menghasilkan 256 helai benang daripada doh.

Kemudian, helaian nipis pasta itu akan diletakkan secara berlapis-lapis di atas dulang bulat yang dipanggil fundu.

Ia akan dijemur di bawah cahaya matahari selama beberapa jam sehingga kering.

RUPA pasta ini yang telah dijemur pada cahaya matahari.

Lapisan yang melekat antara satu sama lain itu akan membentuk reka bentuk corak seperti kain kemudian dipatah-patahkan untuk dimasak.

Prosesnya mudah untuk difahami tetapi menghasilkan su filindeu yang betul itu menjadi masalah bagi kebanyakan orang bahkan tukang masak berpengalaman.

“Ramai orang mengatakan yang saya mempunyai rahsia dan enggan mendedahkannya. Tetapi sebenarnya rahsia itu ada di depan anda dan ia di tangan saya,” katanya.

Pada tahun 2015, sepasukan jurutera dari jenama pasta terkenal, Barilla telah mengunjungi guru su filindeu itu dan berharap dapat meneroka kaedah untuk menghasilkan hidangan tersebut menggunakan mesin.

Namun, mereka gagal. Kemudian, cef terkenal, Jamie Oliver datang mengunjungi Paola dan berusaha mempelajari tekniknya tetapi menyerah kalah selepas dua jam cuba membuatnya.

Itu hanyalah sebahagian contoh mereka yang pernah mencuba malah terdapat beratus-ratus orang lagi telah gagal dalam percubaan tersebut.

Menurut Slow Food International’s Ark of Taste, su filindeu salah satu daripada 4,000 hidangan yang paling jarang ditemui dan merupakan pasta terancam di dunia.

Slow Food International’s Ark of Taste ialah sebuah projek yang bertujuan mengklasifikasikan dan memelihara kulinari tradisi paling terancam di dunia.

“Su filindeu ialah salah satu makanan yang berisiko kepupusan dan merupakan pasta paling sukar untuk dihasilkan.

“Oleh itu, adalah sangat penting untuk memelihara pasta ini agar ia tidak hilang begitu sahaja,” kata ketua penyelaras projek itu, Raffaella Ponzio.

Tambahnya, memelihara su filindeu bukan soal seni kulinari semata-mata tetapi ia cebisan identiti budaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI