PETALING JAYA – Sebanyak tiga kolej kediaman Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu, Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 5 sehingga 18 April ini.
Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kolej kediaman terlibat adalah Kolej Kediaman Tun Mustapha, Tun Fuad dan Tun Pengiran Ahmad Raffae.
“Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 133 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 19 kes positif Covid-19 telah direkodkan di lokaliti terbabit.
“KKM mengesahkan telah berlaku penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan penghuni di ketiga-tiga kolej kediaman tersebut
dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.
“Setelah membuat penilaian risiko, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di tiga kolej kediaman terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD itu untuk memastikan pergerakan penghuni dapat dikawal bagi mengelakkan penularan Covid-19 ke komuniti luar kolej kediaman. – K! ONLINE














