TOKYO – Idola Jepun, Seiko Matsuda mengejutkan peminat di negara itu kerana tampil muda dan jelita menerusi klip video nyanyian terbaharunya walaupun usianya mencecah 59 tahun, lapor portal Sora News 24 semalam.
Klip video tersebut boleh ditonton di laman perkongsian video YouTube, Matsuda yang dianggap idola sepanjang zaman dikatakan ‘berhenti menua’ sejak tahun 1988.
Klip video lagu nostalgia musim panas berjudul Blue Lagoon yang dinyanyikan semula itu dicipta pada tahun 1980. Klip video tersebut mencatat lebih 700,000 tontonan sejak dimuat naik Khamis lalu.
Penampilan Matsuda dalam klip video tersebut dikatakan sama seperti zaman mudanya dahulu.
Vokal serta rentak lagu yang dibawakannya turut mendapat pujian dan disifatkan sebagai sempurna.
Video berdurasi hampir empat minit itu turut menunjukkan penyanyi pop tersebut memakai gaun kembang berwarna biru dan merah jambu menunggang basikal sambil menyanyi persis remaja yang riang.
Selain berpengaruh dalam arena muzik era 80-an Matsuda turut menjadi ikon trend gaya rambut yang dikenali sebagai ‘potongan Seiko-chan’.
“Saya benar-benar menyangka ini adalah orang yang meniru Seiko Matsuda tetapi sebenarnya dia adalah dirinya sendir,” komen seorang penonton di laman sosial tersebut.
“Hanya dengan menontonnya membuatkan ‘mood’ saya terus baik,” kata seorang lagi netizen. – Agensi














