fbpx

Gelora, kecamuk kontroversi Nonny Nadirah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NONNY NADIRAH

DI celah keributan ramai yang tertanya-tanya tentang majlis pernikahan selebriti popular Neelofa dengan Haris Ismail minggu lalu, tiba-tiba muncul satu nama yang tidak cukup asing menggemparkan dunia hiburan tempatan.

Nonny Nadirah yang merupakan penyanyi dan pelakon, secara mengejut menimbulkan tanda tanya ramai apabila memuat naik sebuah video berdurasi 38 saat dalam Instagramnya pada 25 Mac lalu.

Bukan video biasa, perkongsian tersebut sebaliknya memaparkan seorang wanita berbaju putih berimej seksi dan mengenakan stokin jarang duduk di bahagian belakang sebuah kereta.

Meskipun wajahnya tidak didedahkan kerana memakai alat pelindung muka, namun ramai yang terkesima kerana rakan baik penyanyi itu sendiri iaitu Mila Jirin tampil mengesahkan identiti wanita ‘misteri’ itu adalah Nonny.

Seakan tidak percaya, hati mana yang tidak terkejut dengan pendedahan berani mati Nonny yang bukan sahaja membuka tudung bahkan dengan ghairahnya berpenampilan sangat seksi. Sangat berlawanan dengan imej muslimahnya sejak dia berhijab pada Januari 2019.

PERKONGSIAN terbaharu Nonny yang mengejutkan ramai pihak apabila memuat naik gambar seksi dalam Instagramnya.

Selain Mila, pelakon Niezam Zaidi yang merupakan bekas kekasih Nonny turut membuka mulut dengan mengakui dia tidak percaya wanita itu membuka tudung.

Masih mahu berfikiran positif, pelakon itu turut mengandaikan bahawa Instagram bekas kekasihnya mungkin digodam dan wanita yang dimaksudkan ramai itu bukanlah Nonny.

“Aku tidak percaya sedikit pun kata-kata, kerana aku lebih percaya pada Allah SWT. Kepada yang kecam, kata bukan-bukan tanpa bukti sahih, berubahlah. Kadang itu ujian buat kita, janganlah cepat buruk sangka.

“Nanti boleh jatuh fitnah, jenuh nak cari dia dekat padang yang luas (Mahsyar) di sana nanti. Banyak sangat cakap itu, cakap ini. Tunggu sekejap. Mudah kalau kalian tadah tangan dan doa yang terbaik buat insan yang kalian kata itu, ini. Kita doakan yang baik-baik okey,” katanya dalam satu hantaran Instagram.

Selepas seminggu memercikkan api kontroversi, penyanyi kelahiran Sabah itu sekali lagi tampil menimbulkan tanda tanya dan seakan menguatkan spekulasi dirinya kini sudah tidak berhijab apabila lebih berani menayang aksinya berkemban di dalam baldi.

Perkongsian Nonny pada 31 Mac lalu memaparkan dirinya sedang berendam dengan hanya menyarung kain batik sehingga menampakkan sebahagian besar tubuhnya.

Sebenarnya, persoalan sama mungkin berlegar dalam kepala semua orang, kenapa dengan Nonny? Adakah dia okey atau sedang dirundung masalah sehingga sanggup membiarkan dirinya hanyut dibawa arus perasaan yang berbaur sangsi.

SEJUK mata memandang. Sejak Nonny mencetuskan kontroversi dengan gambar tidak bertudung dan seksi, ramai yang mendoakan agar pelakon itu terjentik hati untuk kembali ke pangkal jalan.

Jika benar apa yang dilakukan penyanyi yang memulakan kariernya dengan menyertai program Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu hanyalah sekadar gimik dan publisiti murahan seperti disangka ramai, strateginya menjadi.

Hal ini kerana jumlah pengikut dalam Instagramnya naik mendadak kepada lebih 550,000 orang berbanding sebelum ini seramai 483,000 selepas kontroversi tersebut timbul.

Malah jumlah orang yang menonton perkongsian pertamanya juga bukan biasa-biasa kerana sehingga artikel ini ditulis, videonya ditonton lebih 1.67 juta tontonan.

Lelah dengan tindakan dibuat Nonny, Mila mengakui sudah mengangkat bendera putih kerana tidak lagi mempunyai kudrat untuk memberi teguran kepada sahabat baiknya itu.

“Punya ramai mesej dan komen maki hamun aku sebab tegur kau secara terbuka. Aku pula yang tertekan. Ada sebab aku bising.

“Aku tak perlu publisiti pun sepertimana orang kutuk aku. Aku telan orang maki aku. Aku dah tak mampu buat apa. Mungkin sejuta pengikut yang kau impikan,” tulis Mila meluahkan remuk-redam hatinya.

Apa niat dan kejadian sebenar yang berlaku di sebalik perubahan mengejut Nonny, 32, hanya empunya badan yang mempunyai jawapan untuk diberitahu kepada umum andainya suatu hari nanti dia sudah bersedia.

NONNY disayangi ramai kerana biarpun masih mendiamkan diri susulan kontroversi membabitkan dirinya, namun rakan-rakan artis dan bekas kekasihnya, Niezam Zaidi (gambar kiri, kanan) meminta orang ramai tidak mudah menjatuhkan hukum terhadapnya.

Cuma kata seorang lagi rakan artisnya iaitu pelakon Ika Nabella, dia cukup mengenali sikap Nonny yang gemar memendam masalah sendirian. Namun dia yakin benar bahawa Nonny tahu apa yang sedang dilakukannya ketika ini.

“Saya kenal hati budi dia. Dia bukan begitu. Kalau dulu, saya yang selalu nakal. Dia pakai seluar pendek pun tak pandai. Singlet pun sama. Saya yang ajar dia fesyen ‘bodoh’. Dia tak pernah nak ikut pun. Malu katanya.

“Dia ada prinsip dan tahu tujuan hidup. Dia hidup untuk mama dan orang-orang yang dia sayang walaupun semua orang itu bodoh tidak pandai hargai dia. Dulu saya selalu marah dia, jangan jadi bodoh bila sayang orang. Sayang diri sendiri dulu. Tapi saya hanya mampu marah, dia pun bukannya budak-budak,” katanya.

Apa pun sebab dan punca kepada perubahan drastik Nonny, tiada siapa yang tahu melainkan dirinya sendiri.

Di sebalik kecaman bertubi-tubi dilemparkan kepadanya, masih ramai yang mengambil pendekatan berlembut dengan menitipkan doa agar pelakon itu kembali terjentik hati untuk pulang mencari reda dan mendakap cinta Ilahi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI