fbpx
ZULFAQAR (kiri) dan Aqil (kanan) berbincang strategi untuk meningkatkan prestasi jentera.–SHIDDIEQIIN ZON

K2

Bangunkan teknologi tingkat kuasa kelajuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUA minggu sebelum perlumbaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia bermula menjadi rutin Mohamad Zulfaqar Syarifuddin, 31, untuk menyiapkan motosikal milik pasukannya yang akan digunakan dalam perlumbaan tersebut.

Menjadi insan mustahak di sebalik tabir pencapaian dan prestasi jentera pasukan ternyata ia suatu tanggungjawab yang besar untuk dilaksanakan.

“Ada ketika saya tidak tidur malam memikirkan cara bagaimana untuk meningkatkan kelajuan motosikal.

“Saya dan mekanik yang lain selalunya akan lebihkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam usaha menyiapkan sebuah motosikal yang sempurna untuk digunakan pelumba ketika perlumbaan,” kongsinya yang merupakan ketua mekanik untuk pasukan permotoran Tuneboss-Pink Racing kepada K2 baru-baru ini.

Tuneboss-Pink Racing merupakan salah satu pasukan yang menyertai Kejuaraan Cub Prix Malaysia bagi tahun ini.

Zulfaqar menjadi antara individu terpenting bagi pasukan Tuneboss-Pink Racing kerana dia bertanggungjawab memimpin mekanik lain bagi mengatur strategi teknikal dan membangunkan sebuah jentera terbaik untuk digunakan dalam setiap perlumbaan.

 

 

PELUMBA Tuneboss-Pink Racing (depan) bersaing bersama pasukan-pasukan lain dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Sepang baru-baru ini.

Zulfaqar menjelaskan, untuk sesebuah motosikal mencapai kuasa maksimum bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan.

Ini kerana setiap motosikal yang diubah suai untuk perlumbaan masih tertakluk peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.

“Tidak banyak yang kami boleh ubah suai untuk bahagian enjin bagi meningkatkan kelajuannya kerana tertakluk dengan peraturan.

“Hampir 80 peratus bahagian enjin tidak boleh diubah suai dan mesti mengikut standard asal yang dikeluarkan oleh kilang,” katanya.

Dedahnya, komponen seperti kepala silinder, injap dan blok silinder tidak boleh diubah suai serta setiap pasukan hanya perlu menggunakan barangan original dari kilang.

Pun begitu mereka masih boleh menambah kelajuan dengan mengubah suai di bahagian yang dibenarkan.

Pasukan Tuneboss-Pink Racing menggunakan motosikal jenis Yamaha Lagenda 115 bagi persaingan dalam kategori Wira dan CP125.

Motosikal tersebut dikuasakan enjin satu silinder 113.7 cc dengan sistem suntikan bahan api dan mampu menghasilkan kuasa sehingga 9 kuasa kuda (hp). Bagi motosikal itu yang baru keluar dari kilang boleh mencapai kelajuan antara 110 sehingga 120 kilometer sejam (km/j).

Namun untuk perlumbaan, Zulfaqar dan pasukan mekaniknya mampu meningkatkan kuasa motosikal tersebut sehingga 19hp dan mencapai kelajuan sehingga 170km/j dengan melakukan pengubahsuaian mengikut peraturan yang dibenarkan.

Akuinya sekiranya sesebuah motosikal itu lebih ringan, ia akan memiliki lebih kelajuan.

 

 

ZULKFAQAR (kanan) menunjukkan bagaimana telefon pintar dapat dijadikan meter motosikal.

Tetapi dalam masa sama, mereka tidak boleh meringankan lagi motosikal kerana pihak penganjur telah menetapkan berat minimum jentera perlumbaan tersebut.

“Berat minimum untuk motosikal yang digunakan untuk perlumbaan adalah 85 kilogram (kg) manakala berat minimum untuk motosikal bersama pelumba adalah 142kg.

“Sebolehnya kami mahu mencapai berat minimum tersebut. Ini kerana dengan sedikit penambahan berat ia akan mengubah kelajuan jentera perlumbaan ini,” katanya.

Pasukan Tuneboss-Pink Racing memiliki empat jentera yang digunakan dalam perlumbaan tersebut dan Zulfaqar menjelaskan, mereka mengambil masa hampir empat bulan untuk membangunkan motosikal tersebut menjadi jentera perlumbaan.

Apa yang pasti, pasukan tersebut turut mengaplikasikan penggunaan teknologi canggih untuk perlumbaan.

Zulfaqar menjelaskan, melalui R&D, mereka telah berjaya menjadikan telefon pintar sebagai paparan bagi meter motosikal.

“Pasukan kami memiliki kepakaran untuk membangunkan aplikasi yang membolehkan meter motosikal terpapar pada telefon pintar.

“Dengan teknologi ini, kami boleh memasukkan elemen yang kami mahu paparkan pada meter motosikal bagi membantu pelumba,” katanya.

Jelas Zulfaqar, menerusinya, mekanik pasukan boleh menyampaikan mesej yang akan terpapar di atas paparan meter secara terus kepada pelumba yang sedang berlumba di atas motosikal.

Sebagai contoh, melalui teknologi itu, meter tersebut boleh menunjukkan ukuran takometer (RPM) yang mengukur kelajuan putaran enjin secara digital.

“Teknologi ini amat penting dalam membantu pelumba. Sebagai contoh, motosikal yang telah diubah suai boleh mencapai sehingga 13,000 RPM tetapi katakanlah pelumba hanya menggunakan sekitar 7,000 RPM.

“Melalui meter ini kita boleh memberitahu pelumba untuk memaksimumkan penggunaan RPM,” terang Zulfaqar.

 

ECU disifatkan sebagai otak motosikal yang mampu mengawal pelbagai aspek operasi selain mengesan masalah pada jentera dengan hanya menggunakan telefon pintar.

 

Dalam pada itu, pasukan Tuneboss-Pink Racing juga turut menggunakan teknologi Unit Kawalan Enjin (ECU) pada jentera perlumbaan yang mereka bangunkan.

Kru mekanik Tuneboss-Pink Racing, Muhd. Aqil Riduan, 27, menjelaskan, ECU ini boleh digambar sebagai ‘otak’ kepada motosikal.

Menurutnya, ECU ialah satu peranti yang mampu mengawal beberapa ‘penggerak’ di dalam enjin termasuklah kadar pembakaran minyak petrol, kemasukan udara dan lain-lain lagi.

Katanya, pasukan tersebut menggunakan ECU TuneBoss yang dibangunkan oleh syarikat tempatan.

“Melalui ECU ini, kami boleh mengesan sebarang masalah yang berlaku pada motosikal dengan hanya menggunakan telefon pintar.

“Apa yang boleh saya katakan ECU ini menyediakan diagnostik keseluruhan dan kita boleh mengesan masalah pada motosikal sewaktu perlumbaan,” katanya.

Tambahnya, ketika perlumbaan juga mereka boleh mengesan kadar suhu dan juga tekanan udara.

 

MEKANIK sentiasa bersiap sedia untuk memastikan jentera dalam keadaan yang baik.

 

Terangnya, suhu enjin amat penting untuk kelajuan dan semakin panas enjin akan mengurangkan kelajuan.

“Suhu yang melebihi 160 darjah Celsius akan menyebabkan minyak hitam cair dan ini akan menyebabkan kuasa motosikal berkurang.

“Untuk minyak hitam, suhu yang sesuai adalah sekitar 140 darjah Celsius dan semua rekod ini kita akan peroleh melalui ECU,” jelas Aqil.

Dalam pada itu, pemilik pasukan Tuneboss-Pink Racing, Nur Atikah Azwar, 25, amat berpuas hati dengan hasil kerja dan usaha pasukan mekaniknya.

“Jentera perlumbaan yang dibangunkan oleh pasukan mekanik ini mempunyai ketahanan yang amat baik.

“Motosikal yang mereka bangunkan ini mampu bertahan untuk digunakan bagi sesi latihan, kelayakan dan juga perlumbaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN