fbpx

Saintis ramal sukar dapat anak menjelang 2045

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramai pasangan dijangka memerlukan rawatan perubatan untuk hamil menjelang tahun 2045. – Daily Star

NEW YORK – Pakar-pakar me­ramalkan bahawa kebanyakan pasangan akan memerlukan bantuan perubatan untuk hamil menjelang 2045 akibat pencemaran bahan kimia yang mero­sakkan kesihatan termasuk kesu­buran manusia, lapor akhbar Dai­ly Star kelmarin.

Profesor alam sekitar dan kesi­hatan awam Sekolah Perubatan Mount Sinai di Bandar Raya New York, Shanna Swan berkata, pada tahun 2017, beliau mendapati purata jumlah sperma dalam kala­ngan lelaki Barat berkurangan le­bih separuh berbanding tempoh 40 tahun sebelumnya.

“Berdasarkan analisis penurunan sperma pada 2017, saya meramalkan menjelang 2045, kita akan menyaksikan median jumlah sperma sifar.

“Justeru, kebanyakan pasa­ngan dijangka terpaksa menggu­nakan kaedah persenyawaan da­lam makmal (IVF) atau bantuan perubatan lain untuk hamil,” ujarnya.

Tambah Swan, beliau turut melihat terdapat peningkatan jumlah kemandulan dalam kalangan generasi muda.

“Saya mahu berterus-terang mengenai perkara ini meskipun ramai orang tidak suka bercakap mengenainya. Ini adalah masalah pembiakan dan ia mempunyai kaitan dengan alam sekitar.

“Orang ramai sedar bahawa kita menghadapi krisis kadar kelahiran, namun mereka menyatakan ia disebabkan oleh kelewatan melahirkan anak atau pilihan gaya hidup dan enggan mengaitkannya dengan bahan kimia.

“Saya mahu masyarakat sedar bahawa bahan kimia boleh memberi kesan negatif terhadap tahap kesuburan dan menjadi penyebab utama permasalahan tersebut tanpa menafikan faktor lain,” jelasnya kepada akhbar The Guardian.

Swan bersama para penyeli­dik lain turut mengkaji kaitan antara bahan kimia yang memasuki badan dan masalah kesu­buran serta mengesahkan kaitan tersebut.

Bahan kimia phthalates dan Bisphenol A (BPA) yang digunakan dalam pembuatan plastik boleh mengganggu pengeluaran hormon seks seperti testosteron dan estrogen sekali gus menjejaskan kesuburan. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI