fbpx
PERKHIDMATAN Nasi Kandaq Transporter membawa nasi kandar dari premis-premis popular Pulau Pinang kepada pembeli di luar negeri itu.

Angkut nasi kandar keluar Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sebut saja nasi kandar Deen Maju, Hameediyah, Kampung Melayu, Raffe, Sulaiman dan Merlin serta mi sotong Hameed Pata di Padang Kota lama, Pulau Pinang, pastinya ramai kecur air liur terbayangkan keenakannya.

Nasi kandar kuah campur berlauk ikan, daging atau ayam, telur rebus serta bendi, manakala mi goreng pula disalut dengan kuah sambal sotong sudah tentunya menjadi bayangan dalam kotak fikiran ketika ini bukan?

Pun begitu, bagi penggemar makanan signatur Pulau Mutiara itu yang tinggal di luar Pulau Pinang, anda tidak perlu lagi pening memikirkan tempoh perjalanan lebih 350 kilometer ke negeri ini semata-mata mahu menikmati menu autentik tersebut.

Ini kerana, dengan hanya membuat pemesanan menerusi WhatsApp, Instagram atau Facebook kepada penghantar makanan, hidangan bungkusan nasi kandar dan mi sotong akan tiba di tempat anda dalam keadaan masih panas bak disajikan pengusahanya di restoran.

Bagi pengusaha Nasi Kandaq Transporter (NKT), Mohamed Hidzir Mohamed Nordin, 43, dia mengambil inisiatif menyediakan perhidmatan penghantaran nasi kandar dari 20 buah premis popular di Pulau Pinang buat para penggemar di seluruh Semenanjung terutama Kuala Lumpur pada setiap minggu.

MAMU ZIR menunjukkan tempahan yang dikehendaki kepada pengusaha premis.

Menurutnya, idea tersebut timbul ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Jun tahun lalu selepas perniagaan khidmat cucian di pejabat dan rumah yang diusahakannya di Kuala Lumpur sejak tahun 2018 terjejas teruk sehingga terpaksa gulung tikar.

“Saya antara individu yang berdepan masalah kewangan ekoran pandemik dan disebabkan itu juga saya terpaksa pindah semula ke kampung halaman di Bagan Ajam, Butterworth.

“Khidmat penghantaran nasi kandar ke Kuala Lumpur tercetus ketika kerajaan menetapkan larangan rentas negeri berikutan peningkatan laporan kes Covid-19 selain mendapati nasi kandar antara hidangan tradisi yang masih kekal sehingga kini dan sentiasa diminati ramai.

“Saya memulakan bisnes ini seorang diri dengan mengambil tempahan pertama sebanyak 24 bungkus nasi kandar Kampung Melayu untuk 10 pelanggan di Kuala Lumpur pada setiap minggu termasuk menghebahkan perkhidmatan menerusi Facebook Nasi Kandar Hunters,” katanya ketika ditemui K2 baru-baru ini.

MAMU ZIR menunjukkan kenderaan yang digunakan untuk mengangkut nasi kandar. – MUHAMMAD FIRDAUS AMRAN

Dia yang mesra disapa sebagai Mamu Zir memberitahu, khidmat penghantaran nasi kandarnya itu kini mula mendapat tempat dalam kalangan penggemar di luar Pulau Pinang terutama Kuala Lumpur dengan jumlah tempahan diterima kira-kira 3,000 bungkus setiap minggu.

“Tempahan dibuka pada setiap hari Isnin, Selasa dan Rabu, manakala penghantaran ke Kuala Lumpur akan dibuat pada hari Sabtu, Ahad dan Isnin dengan caj yang dikenakan sebanyak RM10 untuk setiap tiga bungkusan.

“Bagi wilayah Utara seperti Perlis dan Kedah, penghantaran dibuat pada setiap hari Khamis, manakala negeri di Pantai Timur akan dihantar setiap dua minggu sekali dengan caj minimum RM15 hingga RM25 bagi setiap tiga bungkusan.

“Sebanyak enam menu diketengahkan iaitu nasi kandar lauk ayam, daging, ikan, sotong atau kambing yang disajikan bersama telur rebus dan bendi. Pelanggan boleh memilih nasi kandar dari 20 buah premis popular di Pulau Pinang,” katanya sambil memberitahu harga nasi kandar antara RM9 hingga RM18 sebungkus.

Menurut Mamu Zir, dia sememangnya mementingkan aspek masa dan kualiti nasi kandar yang dibawanya dengan memastikan ia diletakkan di dalam bekas polisterina putih supaya berada dalam keadaan masih panas sejurus tiba dekat pelanggan.

“Saya akan pastikan tempahan makanan ini sampai dalam tempoh empat jam ke Kuala Lumpur dan dihantar kepada pelanggan mengikut tujuh lokasi penghantaran yang ditetapkan.

“Memang letih kerana terpaksa berulang-alik tetapi kegembiraan dan kepuasan yang dinikmati pelanggan membuatkan saya lebih puas hati dan hilang rasa letih,” jelas bapa kepada tiga cahaya mata itu.

NASI kandar sajian popular dari Pulau Pinang.

Tambah Mamu Zir, antara pelanggan nasi kandar yang pernah mendapatkan khidmat penghantarannya ialah penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, pelakon Sharnaaz Ahmad, pelakon, pengacara dan pelawak, Afdlin Shauki serta penyanyi Alif Satar.

Terbaharu, dia menerima tempahan penghantaran nasi kandar Deen Maju untuk Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan nasi kandar Kampung Melayu kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sementara itu, seorang bekas pemain bola sepak Pulau Pinang dan Kuantan FA, Mohd. Jailani Abdullah, 29, turut menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan popular Pulau Pinang iaitu mi sotong Hameed Pata ke Kuala Lumpur.

Mi Sotong Hameed Pata dijual sejak tahun 1942 di negeri ini oleh pengasasnya iaitu Datuk Shahul Hameed Syed Mohammed dan perniagaan itu kini telah diwarisi anak lelakinya, Ali Azlan Shah, 29.

TIGA sahabat Muhamad Afzahari (kiri), Mohd. Jailani (tengah) dan Mohd. Syukri (kanan)mengusahakan NKF bersama-sama sejak Mac tahun lalu.

Mohd. Jailani mengusahakan perkhidmatan tersebut bersama dua lagi rakannya iaitu Mohd. Syukri A. Aziz, 38, dan Muhamad Afzahari Che Mat, 32, menerusi perniagaan Nasi Kandaq Friends (NKF) sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu.

“PKP jadikan kami bertiga lebih kreatif dalam memperluaskan lagi perkhidmatan pindah barang kepada penghantaran makanan popular buat penggemar di Kuala Lumpur dan negeri di wilayah Utara.

“Kami bermula dengan menerima tempahan sebanyak 50 bungkusan makanan terdiri mi sotong Hameed Pata, nasi kandar, martabak dan pasembur. Kini, dianggarkan sebanyak 300 hingga 400 bungkusan diterima daripada pelanggan di luar Pulau Pinang.

“Kebanyakan pelanggan ialah penggemar mi sotong Hameed Pata yang tidak dapat pulang ke kampung halaman disebabkan PKP selain mereka yang tidak dapat bercuti ke negeri ini ekoran larangan rentas negeri.

MI sotong Hameed Pata turut menjadi kegemaran ramai.

“Kami juga akan pastikan mi goreng berada dalam keadaan masih panas sebaik tiba kepada pelanggan dengan caj penghantaran dan harga bagi sebungkus mi adalah RM13,” katanya sambil memberitahu pelanggan NKF kini meningkat sebanyak 80 peratus di Kuala Lumpur, manakala 50 peratus di wilayah Utara.

Jelasnya lagi, pelanggan NKF juga terdiri dalam kalangan orang kenamaan, wakil rakyat, artis dan barisan pemain bola sepak tempatan. Antaranya Latiff Suhaimi, Mohd Safee Mohd. Sali dan pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Anak kelahiran Kulim, Kedah itu berkata, pendapatan diperoleh mereka kini meningkat sehingga 80 peratus berbanding perkhidmatan pindah barang yang dilakukan sebelum itu.

“Kerjaya ini bukan sahaja mendatangkan kepuasan buat kami bertiga, malah dapat merapatkan hubungan persahabatan yang lebih erat lagi,” katanya yang membuat penghantaran dengan kenderaan trak pikap.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN