fbpx

Enam pekerja kilang didakwa guna sijil sakit palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
(Depan dari kiri) Nur Farah Amira, Nurul Izzah dan Marsya Fatini serta (belakang dari kiri) Mohamad Hafizi, Muhammad Amir dan Muhamad Zulhakimi didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini.

SEBERANG PERAI – Enam operator pengeluaran sebuah kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan sijil cuti sakit antara Oktober hingga Februari lalu.

Tiga tertuduh mengaku bersalah, manakala tiga lagi mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka di hadapan dua Majistret bebeza iaitu B. Sri Pracha Nanthini dan Mohd. Zaki Abd. Rahman.

Tertuduh, Muhamad Zulhakimi Masdi, 23, dijatuhi hukuman denda RM3,500 dan penjara lima hari selepas didapati bersalah oleh Sri Pracha Nanthini.

Mohd. Zaki Abd. Rahman turut menjatuhi hukuman denda RM2,700 dan penjara lima hari ke atas Mohamad Hafizi Zainuddin, 29, dan Muhammad Amir Md. Ishak, 19 selepas mereka didapati bersalah.

Tertuduh wanita iaitu Marsya Fatini Mohd. Rani, 20, dan Nur Farah Amira Alisham, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Sri Pracha Nanthini, manakala Nurul Izzah Abdul Razak, 21, mengaku tidak bersalah di hadapan Mohd. Zaki.

Mereka masing-masing dihadapkan dengan satu pertuduhan kecuali Marsya Fatini didakwa dengan dua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan curang didakwa menggunakan dokumen tulen iaitu sijil cuti sakit yang mana mempunyai sebab untuk percaya ia palsu.

Sijil berkenaan adalah tertera tarikh berbeza di antara 26 Oktober tahun lalu sehingga 26 Februari tahun ini.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Syarikat EMS M Engineering Medical System Sdn. Bhd., daerah Seberang Perai Tengah di sini pada sekitar 27 Oktober tahun lalu sehingga 27 Februari lalu kira-kira pukul 9 pagi.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Nazri Abdul Rahim dan M. Kalaivaanan, manakala kesemua tertuduh masing-masing diwakili peguam.

Marsya Fatini dan Nur Farah Amira dibenar diikat jamin sebanyak RM4,000 beserta seorang penjamin, manakala Nurul Izzah dibenar diikat jamin RM5,000.

Kes akan disebut semula pada 3 Mei depan bagi serahan dokumen. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI