NICOSIA, Cyprus – Pelbagai barangan seperti dalam gua kisah popular Aladdin, daripada perabot IKEA hinggalah kepada puluhan ribu haiwan ternakan, terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas maritim akibat halangan di Terusan Suez.
Lebih 360 kapal terkandas di Laut Mediterranean arah ke utara dan Laut Merah di hujung selatan di samping di zon menunggu sejak kapal kontena gergasi, MV Ever Given tersadai di Terusan Suez Selasa lalu. Terusan itu adalah antara nadi perdagangan dunia.
IKEA yang merupakan syarikat Sweden menyatakan, pihaknya mempunyai 110 kontena di atas kapal Ever Given yang terkandas dan beberapa kapal lain yang terperangkap di zon tersebut.
“Halangan di Terusan Suez meningkatkan lagi kesukaran kepada rangkaian bekalan global yang mencabar semasa musim pandemik,” kata seorang jurucakap IKEA.
Konglomerat Van Rees Group yang beribu pejabat di Rotterdam memberitahu, 80 kontena berisi teh terperangkap di laut di atas 15 buah kapal dekat terusan itu.
Pakar-pakar industri menganggarkan nilai keseluruhan barang-barang yang kini terkandas di laut adalah antara AS$3 bilion (RM12.4 bilion) hingga AS$9.6 bilion (RM39.8 bilion).
Selain barangan, kira-kira 130,000 ekor haiwan ternakan di atas 11 buah kapal yang dihantar dari Romania turut terperangkap
“Kebimbangan terbesar saya adalah haiwan ini kehabisan makanan dan air serta terperangkap di atas kapal-kapal. Semua haiwan ini tidak dapat diturunkan ke tempat lain kerana masalah dokumentasi,” kata aktivis kebajikan , Gerit Weidinger. – Agensi