fbpx
NAMA minyak wangi ini diilhamkan dari kawasan perkuburan di Margate, England yang telah diasaskan sejak 1856. – HAECKELS.CO.UK

Minyak wangi aroma tanah kubur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Sebuah syarikat kos­metik di bandar Margate, England memperkenalkan minyak wangi yang dihasilkan menggunakan bauan pokok-pokok di kawasan perkuburan, lapor akhbar The Sun UK kelmarin.

Haruman dinamakan St. John’s Cemetery itu dijual pada harga £160 (RM914) sebotol. Ia mengambil nama tanah perkuburan di Margate yang diasaskan pada tahun 1856

Produk tersebut dihasilkan oleh firma tempatan, Haeckel.

Dalam kenyataan yang me­nimbulkan rasa seram sejuk, firma tersebut menyatakan, wangian itu diekstrak dari lokasi paling aneh membabitkan penghasilan minyak wangi.

“Tempat tersebut adalah sebahagian daripada sejarah bandar Margate. Mereka yang masih hidup dan penduduk telah meninggal dunia tinggal dekat antara satu sama lain.

“Lokasinya dikelilingi pokok pain besar dan di antaranya, tumbuh banyak pokok lebih besar. Saiz pokok-pokok tersebut di luar jangkaan dan membesar di bawah penjagaan rapi.

“Kabus menyelubungi tempat itu sesuai dengan keindahan dan ketenangannya. Tempat semula jadi itu bukan sahaja penting, malah menunjukkan hubungan antara yang hidup dan sudah mati,” katanya.

Keterangan pada satu produk itu turut mengatakan ia me­ngandungi aroma daun pain yang dipetik dari kubur ‘Pada Hari Hujan 6 Ogos’.

Produk tersebut dijual di rangkaian gedung serbaneka mewah, Selfridges.

Minyak wangi itu diletak dalam kotak kayu beserta koordinat Sistem Pengesanan Kedudukan Global (GPS) tanah perkuburan tersebut terpampang pada penutupnya. – Agensi

POPULAR