fbpx
SEJARAH perlombongan menerusi kapal korek diabadikan dalam bentuk lukisan.

Lukisan mural papar keunikan daerah Kampar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AWAN gelap mula menumpahkan kandungannya. Perlahan-lahan pelukis sepenuh masa, Hamidon Ahmed, 52, mengemaskan peralatannya agar tidak dibasahi air hujan yang menimpa. Perkara sama juga dilakukan lapan pelukis mural yang lain ketika hujan mula turun di sebatang lorong kecil di belakang blok bangunan lama di pekan Kampar, Perak. S

Selepas mengemas peralatan melukis termasuk cat pelbagai warna dan berus aneka saiz serta peralatan lain yang digunakan, mereka bersandar sahaja di tempat berteduh sambil menghirup minuman sementara menunggu hujan reda.

Begitulah cabaran yang terpaksa dilalui para pelukis. Apabila melibatkan faktor cuaca, tiada apa yang dapat dilakukan selain berhenti seketika merehatkan badan sementara awan kelam beralih arah ke tempat lain.

Menurut Hamidon, sekiranya cuaca panas walaupun matahari di atas kepala dan terik, mereka boleh lagi menggagahkan diri untuk mencorakkan lukisan mural di dinding-dinding empat blok bangunan itu namun sebaliknya jika hujan turun.

Kebelakangan ini, lukisan dinding atau mural semakin mendapat perhatian apabila dinding-dinding bangunan mula dilukis dengan pelbagai lukisan bertujuan mengindahkan lagi pemandangan sedia ada.

Dengan pelbagai tema yang digarapkan, hasil mural bukan sahaja mampu membuatkan orang ramai kagum, malah dilihat sebagai salah satu kaedah untuk menarik orang ramai hadir ke lokasi terutamanya dari perspektif pelancongan.

 

PELANCONGAN air seperti aktiviti berakit di arus deras diabadikan dalam bentuk lukisan.

 

Kaedah tersebut turut digarap di beberapa lokasi tarikan pelancong terkenal di Perak seperti di bandar raya Ipoh serta Taiping, malah bandar terbaharu mengikut jejak langkah sama ialah Kampar yang terletak kira-kira 40 kilometer dari Ipoh. Lokasi tersebut dinamakan Street Art Kampar.

Bercerita mengenai lukisan mural yang tular di media sosial sejak sebulan lalu, Hamidon berkata, seramai sembilan pelukis pelbagai kepakaran terlibat dalam ‘menghidupkan’ lukisan mural di empat blok bangunan tersebut.

Menurut Hamidon, pihaknya dihubungi Majlis Daerah Kampar mengenai projek lukisan mural tersebut dan mereka perlu menyiapkannya dalam tempoh yang singkat iaitu dua bulan bermula 22 Disember tahun lalu.

“Kami para pelukis turut teruja dengan projek berkenaan dan bersetuju menerima tawaran Majlis Daerah Kampar yang mahu kesemua 28 lukisan disiapkan dalam tempoh dua bulan.

“Bagaimanapun perkara tersebut tidak mustahil untuk disiapkan walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan untuk menyiapkannya dalam tempoh tersebut,” katanya ketika ditemui Panorama.

Menurut Hamidon, pihak majlis telah menetapkan empat konsep yang perlu disiapkan merangkumi industri, elemen tradisional, sejarah dan tempat-tempat menarik di sekitar Kampar.

 

HAMIDON

 

“Semua elemen yang menarik dan terkenal di Kampar dibawa ke pekan Kampar untuk disajikan kepada orang ramai mengenai keunikan daerah Kampar itu sendiri.

“Sebagai contoh, di sini terkenal dengan pelancongan air seperti air terjun dan
sungai, aktiviti berakit di arus deras, kapal korek TT5, durian, rumah warisan dan pelbagai lagi unsur yang difikirkan menarik untuk ditonjolkan kepada orang ramai,” ujar pelukis sepenuh masa itu.

Katanya, sebelum memulakan operasi mewarnai empat blok bangunan di sebatang lorong di pekan Kampar itu, para pelukis terlebih dahulu dibawa melawat ke tempat-tempat menarik di sekitar daerah Kampar bagi mengambil mood gambaran sebenar.

“Gambar-gambar yang dilukiskan ini kebanyakannya memang berdasarkan keadaan sebenar di sesuatu kawasan. Ini bagi menghasilkan lukisan yang benar-benar semula jadi lantas dapat memberi gambaran tepat kepada orang ramai yang melihatnya.

“Merasai dan menggambarkan keadaan sebenar itu amat penting buat seorang pelukis agar hasil lukisan yang digarap itu akan menjadi lebih ‘manis’ untuk ditatap,” katanya.

Bercerita mengenai cabaran menyiapkan lukisan tersebut, Hamidon mengakui itu merupakan salah satu rencah dalam kehidupan seorang pelukis.

 

MURAL bandar Agacia, Kampar turut dapat disaksikan.

 

“Antara cabaran utama yang dihadapi adalah bagaimana untuk menghidupkan dan mengindahkan lukisan yang dihasilkan. Bagaimanapun perkara ini dapat diatasi dengan memanggil pakar lukisan dalam sesuatu lukisan tersebut.

“Bukan mudah untuk menjadikan lukisan itu indah di mata semua orang, namun para pelukis kita yang datang dari pelbagai kepakaran dapat saling bekerjasama untuk menjayakannya,” katanya.

Menurut Hamidon, antara 28 lukisan tersebut, lukisan kapal korek TT5 yang terletak di Tanjung Tualang antara yang paling susah untuk disiapkan memandangkan ia melibatkan gambaran tiga dimensi di bangunan yang mempunyai sudut berlekok.

“Itu merupakan satu cabaran untuk menyiapkannya dan orang ramai perlu berdiri di satu titik tertentu untuk melihat gambaran sebenar lukisan tersebut.

 

SALAH satu daripada 28 lukisan mural yang terdapat di Kampar Street Art.

“Mural kapal korek TT5 itu paling sesuai dilihat pada pukul 5 petang untuk mendapatkan keindahan sebenar lukisan tiga dimensi itu seperti keadaan sebenarnya,” katanya.

Beliau yang sememangnya minat melukis sejak kecil itu memberitahu, empat daripada anak-anaknya turut terlibat dalam menjayakan projek tersebut termasuk melukis mural yang paling tinggi iaitu air terjun di bangunan empat tingkat.

 

BUNGA Cassia biflora yang menjadi bunga rasmi Majlis Daerah Kampar.

 

Menurut Hamidon, dia berbangga bakatnya itu turun kepada anak-anaknya sehingga mereka juga boleh mencari rezeki dengan bakat melukis.

“Saya tidak pernah memaksa mereka untuk melukis, namun selepas melihat bakat dan minat mereka untuk ikut serta dalam bidang seni ini, saya menggilap bakat yang mereka ada,” katanya.

Sementara itu, salah seorang anak Hamidon iaitu Muhammad Nur Afiq menjelaskan, bapanya banyak memberi tunjuk ajar kepadanya dalam menghasilkan lukisan yang terbaik walaupun mereka berdua mempunyai kelebihan berbeza.

“Macam ayah, dia lebih suka melukis potret di atas kertas atau kanvas menggunakan cat dan perkara itu memerlukan kehalusan seni yang tinggi untuk melukiskan setiap perinciannya.

“Saya pula lebih suka melukis lukisan grafiti menggunakan spray sepenuhnya. Sebagai contoh, mural air terjun yang paling tinggi di Street Art Kampar itu merupakan lukisan grafiti menggunakan spray sepenuhnya.

“Lukisan bunga Cassia biflora yang merupakan bunga rasmi Majlis Daerah Kampar yang dilukis di bangunan tiga tingkat itu juga menggunakan kaedah lukisan grafiti menggunakan spray,” katanya.

Menurut Muhammad Nur Afiq atau lebih dikenali dengan nama Madnor, dia berbangga apabila berjaya mengindahkan dua bangunan tersebut yang boleh dilihat orang ramai dari jauh.

“Satu kepuasan kepada seorang pelukis apabila hasil seninya dipandang tinggi dan dikagumi orang ramai.

“Harapan saya agar lukisan tersebut dapat bertahan lama untuk tatapan orang ramai dan menjadi sejarah buat warga Kampar selain tidak diganggu tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN