fbpx

Lelaki dikhuatiri lemas di Tasik Kenyir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba sedang melakukan operasi mencari dan menyelamat Ami Azzizol yang dikhuatiri lemas di Sungai Petuang, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu hari ini.

HULU TERENGGANU – Seorang lelaki yang sedang bercuti bersama keluarganya dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Petuang, Tasik Kenyir dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 7.50 petang itu, mangsa, Ami Azzizol Abu Bakri, 22, dikatakan mengalami kekejangan otot sewaktu mandi di dalam tasik tersebut tidak jauh dari rumah rakit terletak di Jeram Harimau, Tasik Kenyir yang disewa sebagai penginapan percutian tersebut.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Md. Daud berkata, sewaktu kejadian, mangsa bersama ahli keluarganya yang berasal dari Sungai Buaya, Dungun sedang bercuti di rumah rakit berkenaan.

“Sebelum kejadian isteri mangsa menegur niat lelaki itu untuk mandi di dalam Tasik Kenyir kerana tidak memakai jaket keselamatan.

“Begitupun dia meneruskan niatnya sebelum dilihat terkapai-kapai meminta pertolongan dipercayai akibat mengalami kekejangan otot tidak lama kemudian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Adli berkata, pasukan mencari dan menyelamat yang terdiripada 46 anggota pelbagai agensi telah ditubuhkan tidak lama kemudian.

Beliau berkata, setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat diteruskan termasuk rondaan di sepanjang tebing Sungai Petuang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI