fbpx

Siasatan projek SUKE dijangka siap sepenuhnya sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Proses siasatan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dalam kes kemalangan melibatkan struktur gantry launcher yang jatuh di tapak Projek Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Pakej CA3 pada 22 Mac lalu dijangka dapat dilengkapkan sepenuhnya dalam tempoh sebulan.

Pejabat Ketua Pengarah JKKP dalam satu kenyataan berkata, siasatan itu melibatkan pemerhatian dan penilitian di lokasi kejadian, mengambil keterangan saksi dan melakukan analisis kejuruteraan forensik bagi melengkapkan proses siasatan.

Kenyataan itu berkata, tindakan perundangan lanjut akan diambil berdasarkan kepada hasil siasatan terperinci.

“Antara tindakan yang boleh diambil termasuklah tindakan pendakwaan menurut peruntukan seksyen 15 dan 17, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Tindakan ini meliputi kewajipan majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya semasa bekerja, dan keselamatan dan kesihatan orang selain pekerjanya, yang terjejas akibat aktiviti kerja yang dijalankan,” katanya.

Katanya, penalti maksimum bagi kesalahan di bawah kedua-dua seksyen tersebut ialah denda tidak melebihi RM 50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Selain itu, Notis Larangan yang dikeluarkan oleh jabatan hanya akan dibatalkan setelah majikan mengambil tindakan pembetulan dan langkah kawalan yang komprehensif bagi mengelakkan berlakunya kemalangan,” jelasnya.

JKKP turut memaklumkan pihaknya telah menjalankan 14,786 pemeriksaan KKP di sektor pembinaan pada tahun lalu dengan jumlah penalti kira-kira RM 1.7 juta membabitkan 5,117 notis, 404 tindakan kompaun dan 73 kes pendakwaan.

Katanya, JKKP memandang serius setiap kemalangan di tempat kerja sama ada melibatkan pekerja mahupun orang awam.

“Majikan mempunyai kawalan dan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengambil langkah  kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

“Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan dan kesihatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan atau penyakit pekerjaan,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI