PADA pangkal atau dipanggil siyah dalam istilah dunia memanah, terlihat ukiran meliuk membentuk beberapa pucuk daun bersama tangkai yang menguntumkan putik bunga.
Apabila ditanyakan jenis kayu yang dikikir itu, ternyata ini bukanlah buah tangan biasa, sebaliknya cukup istimewa kerana kayu tersebut adalah sebahagian daripada pokok ciku kampung berusia lebih 300 tahun.
Daripada siyah yang melambangkan seni Nusantara, tempat pemegangnya pula direka teguh dan disebatikan bersama pembidik khusus dengan jarak tarikan penuh mengikut kesesuaian pelanggan yang membuat tempahan busur.
Hasil tangan bekas jurutera, Sufyan Mohd. Salleh, 61, ini menjadikan busur daripada Taming Sari Archery bernilai premium.
Menurut anak jati Durian Tunggal ini, usaha untuk mencipta busur bercirikan kemelayuan Melaka itu tercetus pada tahun 2017 selepas mendengar keluhan penggemar sukan itu mengenai harga set lengkap memanah yang mencecah lebih RM2,000 setiap satu.

“Selain berkuda dan berenang, memanah ini adalah antara yang ditekankan dan dinyatakan melalui dalil serta sirah. Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kalian (belajar) memanah kerana ia sebaik-baiknya permainan.” (HR Bazzar dan Tabarani).
“Jadi, memikirkan harga menjadi satu bebanan bagi mereka yang meminati sukan ini khususnya umat Islam, saya terus membuat kajian mengenai pembuatan busur dan menggunakan pengalaman selama 40 tahun dalam bidang kejuruteraan mekanikal untuk mereka busur,” katanya ketika ditemui K2 di bengkel pembuatan busur di rumahnya di Durian Tunggal, Melaka baru-baru ini.
Kini Taming Sari Archery sudah mula dikenali pengikut sukan memanah dan hasil tangannya juga telah sampai sehingga ke bumi Eropah di Hungary.
Kata Sufyan, harga bagi set lengkap memanah yang dihasilkannya dijual pada harga serendah RM900, manakala RM450 sehingga RM600 bagi set busur sahaja. Set lengkap meliputi busur, anak panah dan sarung anak panah diperbuat daripada kulit.
“Harga busur bergantung kepada permintaan pelanggan. Ada yang meminta supaya siyah dibuat daripada tanduk rusa yang sememangnya sukar untuk dicari dan akan menjadi rekaan eksklusif.
“Namun, kebanyakannya saya gunakan kayu pokok ciku kerana mudah diukir dan uratnya halus. Tambahan pula pokok ciku ini banyak ditanam nenek moyang saya di belakang rumah ini dan usianya juga mencecah ratusan tahun,” katanya.

Tambahnya, ada juga pelanggan yang meminta agar siyah direka menggunakan tanduk lembu betina dan harga bagi setiap unit busur pula boleh mencecah sehingga RM550.
Sufyan menjelaskan, dia menghasilkan dua jenis busur iaitu busur tradisional (barebow) dan busur recurve.
Pembuatan busur dimulakan dengan proses membentuk limb menggunakan kepingan gentian plastik (strip fibre). Gentian plastik itu pula dibelah dua bagi proses meletakkan gam di celahnya, supaya dapat dilentur.
“Ukuran poundage bergantung kepada tahap jarak tarikan penuh pelanggan. Biasanya panjang strip fibre berukuran antara 1,200 milimeter (mm) dan tebalnya antara 3.5 hingga 6mm. Kekuatan busur adalah berdasarkan panjang limb.
“Kekuatan sesebuah busur ini biasanya ditulis dan disebut dalam paun (lbs). Lazimnya kekuatan bermula daripada 15 paun (6.8 kilogram) dan boleh mencecah sehingga 100 paun (45.3 kilogram).
“Saya pernah menyiapkan tempahan seorang pelanggan dari Kelantan dengan kekuatan 80 paun, ini bermaksud tenaga yang diperlukan bagi tarikan penuh ialah 36 kilogram,” jelasnya.

Katanya, kekuatan tempat pemegang (grip) adalah yang paling mustahak, malah dia turut mengganda keselamatan dengan menanamkan skru agar struktur busur lebih kukuh.
Proses menyiapkan busur itu diteruskan dengan memasukkan tali, mengikat benang pada limb dan melengkapkan permintaan khas pelanggan seperti memasang bulu arnab sebagai penyenyap dan mengurangkan getaran ketika memanah. Jelasnya, tali yang digunakan pada busurnya merupakan benang yang dianyamnya sendiri menggunakan mesin khas.
“Permintaan membuat busur ini meningkat terutamanya pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama kerana aktiviti sukan ini boleh dilakukan di kawasan lapang di halaman rumah.
“Dalam sebulan, saya menerima kira-kira 40 tempahan daripada pelanggan dan pesanan akan disiapkan dalam masa dua minggu,” katanya.
Jelasnya, kerja-kerja menyiapkan tempahan itu juga dibantu anaknya, Mohd. Fadhil, 27, yang kini tekun mempelajari ilmu-ilmu pembuatan busur.
Mengulas lanjut keistimewaan busurnya berbanding pembuat yang lain, graduan Sekolah Vokasional Sungai Abong (kini Vokasional Muar), Johor ini berkata, dia telah mereka kira-kira 17 model dengan ciri-ciri kemelayuan Melaka pada bahagian siyah selain seakan potongan ‘lok’ keris pada bahagian pemegangnya.

“Saya juga pernah menyertai kursus Kraf Melaka untuk mempelajari ciri atau rekaan sesuai melambangkan masyarakat Melaka dalam menjadikan Taming Sari Archery ini eksklusif.
“Selain memberikan rekaan istimewa, saya yakin dengan kekuatan setiap busur dan memberikan jaminan kualiti sepanjang hayat kepada pembeli.
“Saya juga boleh membuat pelarasan semula, sama ada dinaik taraf atau sebaliknya mengikut kesesuaian pembeli,” katanya.
Dalam pada itu, Sufyan memberitahu, dia juga membuka kawasan lapang memanah di pekarangan rumahnya bagi membolehkan pelanggan menguji busur yang dihasilkan selain sebagai pusat latihan secara percuma.
Sementara itu, seorang penggemar busur, Sham Mohd. Ghani, 56, berkata, sehingga kini dia mempunyai 10 koleksi busur jenis tradisional yang dihasilkan oleh Sufyan.
Katanya, hasil pembuatan yang berkualiti tinggi dan perkhidmatan menyelaras semula nilai paun antara faktor utama dirinya sanggup berbelanja sehingga kira-kira RM4,000 di Taming Sari Archery.

“Saya mula meminati sukan memanah sejak tahun 2009 lagi dan pada tahun 2020, saya telah mengunjungi program kraf dan berjumpa dengan Sufyan yang ketika itu melakukan pameran busur-busur dihasilkannya.
“Kebetulan, lokasi rumah saya dan bengkelnya tidak jauh, saya kemudian terus ke sana dan melihat sendiri ketelitian hasil kerjanya daripada bahan-bahan pembuatan sehinggalah mengukur tangan pelanggan untuk memastikan busur dibuat ‘serasi’ dengan ‘tuannya’,” katanya.
Jelasnya, dia turut meminta siyah di salah satu busur direka dengan menggunakan tanduk kerbau dengan kekuatan 45 paun (20 kilogram).
“Busur ini mempunyai banyak jenis gred dan pada harga berbeza-beza.
“Saya telah lama menginginkan busur laminated yang diperbuatkan daripada kayu dan sekiranya Taming Sari Archery menawarkan produk ini, saya akan menjadi pelanggan pertama mereka,” katanya.














