fbpx

LSS Sepang capai lebihan tenaga dua tahun berturut-turut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ladang Solar Berskala Besar (LSS) pertama Tenaga Nasional Bhd. (TNB) di Sepang merekodkan lebihan jumlah tenaga maksimum yang diisytiharkan untuk dua tahun berturut-turut menerusi pengurusan loji secara pintar.

Pada tahun 2019, ladang solar itu telah merekodkan lebihan tenaga yang diisytiharkan kepada penerima iaitu TNB sebanyak enam peratus atau lebih daripada 110,000 megawatt jam (MWh), manakala pada 2020, janaan tenaga adalah berjumlah 108,900 MWh atau lima peratus lebih daripada diisytiharkan.

Pengarah Urusan Tenaga Renewables Sdn. Bhd. (TRe), Mohd. Yusrizal Mohd. Yusof berkata, operasi LSS berjaya dioptimumkan menggunakan teknologi pemantauan dan analisis data bagi membolehkan pihaknya mengenal pasti waktu paling sesuai untuk member­sihkan panel solar berdasarkan tahap penjanaan tenaga serta ramalan cuaca.

“Menerusi penggunaan tek­nologi analisis terkini, syarikat dapat mencapai penjimatan kos operasi tahunan sehingga RM160,000.

“TRe komited untuk menggunakan penyelesaian inovatif bagi membangunkan keupayaan TNB untuk menjadi pengurus serta pemaju aset tenaga boleh diperbaharui (RE) terkemuka,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Terletak di Mukim Tanjung 12, Kuala Langat, LSS Sepang yang berkapasiti 50 megawatt (MW) dan dilengkapi 238,140 panel fotovaltaik memulakan operasi komersialnya pada November 2018.

Kecemerlangan TRe dalam pengurusan ladang solar itu telah meraih pengiktirafan daripada Frost & Sullivan menerusi penganugerahan Pemaju Tenaga Boleh Baharu Malaysia tahun 2020.

Selain LSS Sepang, TRe juga telah membangunkan LSS Bukit Selambau di Sungai Petani, Kedah yang memulakan operasi komersial pada 8 September 2020, 114 hari lebih awal dari yang dijadualkan.

Kedua-dua LSS Sepang dan LSS Bukit Selambau telah dianugerahkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli menerusi Suruhanjaya Tenaga, melalui Program Bidaan Kompetitif LSS 1 dan 2.

TNB adalah satu daripada 30 syarikat yang disenarai pendek untuk pembidaan pembangunan projek solar berskala besar 4 (LSS 4)@MEnTARI.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI