fbpx

Nak berlakon jangan cengeng – Maya Karin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAYA KARIN

MINGGU lalu peminat dunia hiburan disaksikan dengan ketidakpuasan hati segelintir nama berpengaruh berhubung trend kemunculan pensohor media sosial dengan mudah diangkat sebagai pelakon. Antara yang lantang membangkitkan isu tersebut ialah Izara Aishah.

Mengupas secara lebih mendalam isu berkenaan, HibGlam sempat berbi­cara dengan pelakon wanita yang pernah 11 kali tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) dan dua kali menang trofi berprestij tersebut.

Pelakon berkenaan tidak lain dan tidak bukan, Maya Karin atau nama lengkapnya, Maya Karin Roelcke.

Tidak mahu bersetuju atau menyalahkan mana-mana pihak, namun Maya berkongsi buah akal. Dia cuma mahu melihat industri terus mekar bukan sahaja dari segi bakat bahkan kualiti karya yang dihasilkan.

MAYA tidak mahu menuding kepada siapa salah atau siapa yang betul berhubung isu pensohor media sosial dapat tiket ekspres menjadi pelakon.

HIBGLAM: Kecoh baru-baru ini tentang isu pensohor media sosial diberi jalan mudah untuk terjun ke bidang lakonan, sebagai pelakon senior, bagaimana Maya melihat perkara itu?
MAYA KARIN: Saya cukup sedar tentang perkara yang dibincangkan dalam media sosial. Saya nampak ciapan Izara dengan ‘instafamous’ yang dimaksudkan. Saya tidak berada dalam kedudukan untuk tentukan siapa betul, siapa salah. Namun secara peribadi, kita memang tidak boleh menafikan yang zaman sudah berubah.
Sesiapa sahaja boleh jadi popular dalam media sosial tetapi tak bermakna mereka boleh sewenang-wenangnya diangkat sebagai pelakon hanya kerana cantik, kacak atau ada pengikut yang ramai di Instagram. Tetapi sekarang, itu yang sedang berlaku. Kita terlalu obses dengan kuantiti berbanding kualiti. Dalam masa sama, kita sedar, budaya itu boleh membawa vanity (kesombongan) yang akhirnya memporak-porandakan industri.

Bagi anda, apa yang perlu dilakukan?
Seperti yang saya katakan tadi, saya tidak berada dalam posisi untuk mengatakan siapa benar, siapa salah. Pucuk pangkalnya, pihak produksi perlu ubah budaya dan pemikiran mereka.
Saya faham, semua orang sukakan benda-benda cantik tetapi alangkah seronoknya kalau kecantikan itu diterjemahkan melalui cara kerja iaitu lakonan.
Saya sendiri pun bukan ada pendidikan formal dalam lakonan. Saya bermula sebagai seorang model dan kemudian berkecimpung dalam lakonan.
Apa yang saya buat? Saya bekerja keras dan sentiasa mencari ruang memperbaiki diri bukan sahaja dalam bidang lakonan tetapi daripada pelbagai aspek.
Menjawab soalan anda tadi, saya ingin melihat industri berkembang maju dan itu tidak boleh dengan hanya mengehadkan keuntungan boleh dicapai dengan sekadar menjual wajah-wajah cantik.
Yang paling utama ialah bakat, mereka yang tak kisahlah cantik atau tidak tetapi perlu sentiasa mengisi ruang dan peluang asah bakat lakonan. Tiada siapa yang terus jadi bagus jadi perlu diberikan peluang namun jangan diambil sambil lewa peluang yang diberikan.

Maksudnya, budaya menggunakan ‘instafamous’ berwajah cantik sebagai pelaris drama-drama televisyen sudah tidak boleh dielakkan?
Terpulang kepada produksi. Jika mereka ingin tengok industri terus berada di takuk sama, teruskanlah budaya utamakan kecantikan berbanding kualiti.
Kalau nak tengok industri terus bergerak ke hadapan seperti negara jiran, Indonesia mahupun Korea Selatan, berubahlah.
Saya dahulu pun masa Pontianak Harum Sundal Malam, saya bukan terus-terus dipilih. Saya menjalani uji bakat, tiada jalan mudah untuk mengecap kejayaan. Semasa uji bakat, saya lambat datang dengan tiada secalit solekan pun di wajah tetapi mereka nampak usaha dan susah payah saya.
Budak-budak sekarang bertuah kerana semuanya macam sudah terbentang. Seperti yang saya kata tadi, jangan sebab kemudahan yang dibentangkan, mereka terlalu selesa dan hanya bergantung kepada perihal yang tidak sepatutnya.
Saya percaya itu juga yang ingin disampaikan Izara namun biasalah cakap dalam Twitter, akan ada kemungkinan untuk disalah erti.

Jadi, apa nasihat anda antara aktres yang ikonik kepada wajah-wajah baharu yang ingin berkecimpung dalam dunia lakonan?
Tidak kisahlah anda datang daripada latar belakang apa pun, jangan ‘cengeng’.
Teruskan kerja keras, tetapkan disiplin dan niat untuk jadikan dunia lakonan ini sebagai lubuk rezeki. Jangan buat sesuatu dengan sambil lewa.

MAYA kini muncul sebagai Tony, seorang pembunuh upahan dalam filem Bulan & Pria Terhebat.

Boleh kongsikan perkembangan seni terbaharu anda?
Sekarang filem lakonan saya Bulan dan Pria Terhebat, sebuah karya filem aksi komedi Malaysia arahan Ghaz Abu Bakar menyambung tayangan menerusi Astro First.
Filem itu mengisahkan seorang pelatih pasukan khas wanita, dengan bantuan seorang pemandu teksi yang perlu melawan sindiket perdagangan manusia demi menyelamatkan adiknya yang diculik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI