fbpx

Malaysia mampu jadi kuasa besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REEZAL (dua dari kiri) merasmikan majlis pelancaran MES 2021 yang berlangsung di Putrajaya semalam.

PERKEMBANGAN pesat industri e-Sukan di Malaysia tidak dapat dinafikan apabila ia kini menjadi kegilaan masyarakat di negara ini, terutamanya golongan belia.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican percaya Malaysia mampu menjadi salah sebuah kuasa besar e-Sukan di Asia Tenggara pada masa hadapan.

Katanya, situasi itu bukanlah hanya khayalan semata-mata berdasarkan jumlah penggiat e-Sukan di Malaysia yang sudah mencecah 20.1 juta orang.

Justeru, beliau yakin penganjuran sulung Malaysia Esport Series (MES) 2021 mampu menjadi pencetus dalam usaha merancakkan lagi industri e-Sukan di Malaysia.

“Jumlah penggiat e-Sukan di seluruh negara kini mencecah 20.1 juta orang dan Malaysia juga menduduki tangga ke-21 dari segi pasaran global e-Sukan.

“Oleh itu, saya percaya Malaysia mampu saingi negara lain di Asia Tenggara untuk menjadi hab e-Sukan di rantau ini. E-Sukan kini bukan hanya sekadar hobi, malah mampu menjana pendapatan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran MES 2021 di Putrajaya semalam.

Beliau juga berharap kejohanan yang menawarkan ha­diah wang tunai keseluruhan RM100,000 itu boleh menjadi medan untuk individu-individu berbakat tampil menunjukkan kemahiran masing-masing serta menjana minat anak-anak muda.

Dalam pada itu, Reezal berkata, kejohanan-kejohanan seperti MES mampu mencungkil bakat-bakat baharu bagi menggalas cabaran negara ke temasya-temasya sukan lebih besar.

“Saya harap kita boleh lahirkan atlet-atlet elit e-Sukan dalam saingan antarabangsa seperti dilakukan Dr. Yew Weng Kean yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2019.

“Sukan Asia juga sudah mula mengiktiraf e-Sukan dalam temasya mereka.

“Saya percaya, tidak mustahil e-Sukan akan turut dipertan­dingkan pada Olimpik Paris 2024 nanti,” ujarnya.

Sebagai rekod, MES 2021 dija­dual berlangsung 26 Mac hingga 11 April depan dan sudah mene­rima lebih 2000 penyertaan daripada penggiat e-Sukan di seluruh negara.

Kejohanan itu turut mendapat sokongan daripada KBS, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta Kementerian Kesihatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI