fbpx

Buruh ladang didakwa anjur judi sabung ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh, Azmi Ab. Aziz (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas pertuduhan menjadi dalang dalam penganjuran aktiviti perjudian sabung ayam di Kuala Krai dua minggu lalu. -FOTO - ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Seorang buruh ladang yang menjadi dalang dalam penganjuran aktiviti perjudian sabung ayam di Kuala Krai pada dua minggu lalu didakwa Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Azmi Ab. Aziz, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menganjurkan aktiviti yang melibatkan penggunaan ayam iaitu haiwan itu tertakluk kepada penganiayaan sama ada semasa aktiviti itu sendiri.

Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Pok Jelak Bedal, Kuala Krai kira-kira pukul 4.45 petang pada 12 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29(1) (u) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 722) yang memperuntukkan hukuman denda di antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan, Mohd. Sharif Sabran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Mohd. Sharif meminta jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin ditawarkan bagi pertuduhan itu.

Azmi dalam rayuannya memohon ikat jamin yang rendah kerana dia mempunyai ramai tanggungan termasuk anak-anak yang masih bersekolah.

“Sekarang ini, duit bersama saya hanya ada RM7,000 sahaja. Jadi, saya mohon jaminan yang rendah,” katanya.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 25 April depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah.

Akhbar Kosmo! baru-baru ini melaporkan, keseronokan 14 lelaki bermain judi sabung ayam dengan pertaruhan RM500 seekor terbantut apabila kesemua mereka ditahan dalam serbuan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Pok Jelak Bedal pada 12 Mac lalu.

Kesemua kaki judi termasuk seorang lelaki Siam berusia dalam lingkungan 30 hingga 74 tahun itu dicekup pada pukul 4.45 petang dalam Op Dadu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI