fbpx

Pemandu cedera Myvi ‘terbang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta Perodua Myvi yang terbabas sebelum 'terbang' melintasi longkang dalam kejadian di Jalan Bulatan Bukit Indah, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Sebuah Perodua Myvi yang dipercayai dipandu dengan laju terbabas sehingga ‘terbang’ melintasi sebuah longkang besar dalam satu kejadian di Jalan Bulatan Bukit Indah, di sini awal pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kenderaan itu hanya berhenti setelah merempuh sebatang pokok yang berada di seberang longkang.

Menurut beliau, pemandu yang merupakan seorang lelaki berusia 27 tahun mengalami kecederaan di bahagian muka, tangan dan kaki akibat tersepit.

“Hasil siasatan mendapati punca kemalangan disebabkan pemandu hilang kawalan semasa memasuki bulatan lalu bergerak lurus.

“Kenderaan itu bukan sahaja merempuh bunga pagar tetapi turut melintasi longkang besar dan melanggar sepohon pokok sebelum berhenti,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Hari ini tular sebuah video berdurasi 33 saat yang memaparkan kedudukan Perodua Myvi berwarna putih berkenaan yang berada di seberang longkang besar.

Tambah Dzulkhairi, mangsa yang mengalami kecederaan telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Siasatan dibuat mendapati pemandu tidak berada dalam keadaan mabuk ataupun di bawah pengaruh dadah.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut sementara kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya,” ujarnya lanjut.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI