fbpx

Polis panggil suami isteri rentas negeri berbulan madu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar instagram pasangan suami isteri yang didakwa pergi berbulan madu di sebuah resort peranginan yang ditular di media sosial.

PETALING JAYA – Polis telah merakam keterangan pasangan suami isteri yang didakwa menyalahgunakan permit rentas negeri untuk berbulan madu di sebuah pusat peranginan seperti yang tular di media sosial sejak Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, berdasarkan keterangan pasangan itu, gambar yang tular tersebut dirakam ketika mereka menginap di sebuah resort di Johor sepanjang urusan perniagaan mereka di sana.

Katanya, mereka telah mengemukakan bukti segala urusan perniagaan serta resit tempat penginapan mereka.

“Pasangan ini juga mengesahkan ada memuat naik gambar mereka di akaun Instagram milik isterinya dan menafikan mereka berada di Pulau Perhentian, Terengganu sepertimana yang telah ditularkan.

“Pasangan itu telah menjelaskan ‘posting’ yang dimuatnaik di Instagram isterinya bersifat peribadi tetapi telah ditularkan di Twitter,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Ashari memberitahu, pasangan tersebut telah hadir ke Balai Polis Wangsa Maju Isnin lalu untuk memohon permit pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ke Johor Bahru atas urusan perniagaan.

Menurutnya, lelaki itu telah mengemukakan surat arahan menjalankan tugas oleh syarikat.

“Berdasarkan dokumen yang dikemukakan, permohonan rentas negeri tersebut telah diluluskan oleh polis bermula pada Rabu hingga Sabtu.

“Bagaimanapun, kelmarin gambar pasangan berusia dalam lingkungan 20-an itu telah tular di media sosial kononnya pergi berbulan madu di suatu kawasan peranginan sehingga dikecam netizen.

“Ramai netizen mempersoalkan kebenaran rentas negeri yang diberikan pihak polis kepada pasangan ini untuk tujuan berbulan madu,” katanya.

Justeru, Ashari menasihatkan orang ramai yang mendapat kelulusan rentas negeri agar sentiasa berhati-hati dan bertanggungjawab serta tidak menyalahgunakan kebenaran rentas negeri yang dikeluarkan oleh pihak polis.

“Sekiranya terdapat individu yang menyalahgunakan kebenaran ini, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang berkenaan,” katanya.-K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI