fbpx

Finland paling bahagia Malaysia agak muram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMANDANGAN di pusat bandar Helsinki, Finland – (ISTOCK/SCANRAIL)

WASHINGTON – Finland terus mengungguli senarai negara paling bahagia dunia untuk kali keempat berturut-turut, lapor Badan Penyiaran British (BBC) semalam.

Laporan Kebahagiaan Dunia 2021 tersebut meletakkan Denmark di tempat kedua diikuti Switzerland, Iceland dan Belanda.

Senarai dikeluarkan oleh syarikat penyelidikan Gallup itu meninjau pendapat orang ramai di 149 buah negara bagi menilai tahap kegembiraan mereka.

Gallup yang merupakan syarikat analisis di Washington, Amerika Syarikat turut mengambil kira aspek sokongan sosial, kebebasan peribadi, kelua­ran dalam negara kasar (KDNK) dan kadar rasuah dalam mengeluarkan senarai antarabangsa itu.

Negara yang dianggap pa­ling tidak bahagia di dunia pula ialah Afghanistan diikuti negara-negara yang terletak di Benua Afrika seperti Lesotho, Botswana, Rwanda dan Zimbabwe.

Penulis laporan tersebut, John Helliwell berkata, terdapat ‘fre­kuensi emosi negatif lebih tinggi dan ketara’ di hampir satu per tiga negara yang diselidik berkemungkinan disebabkan impak pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, keadaan menjadi lebih baik untuk 22 negara dengan beberapa negara Asia memperbaiki rekod tahun lalu namun, China jatuh dari tempat ke-84 ke tangga 94.

“Apa yang mengejutkan, secara purata tidak ada penurunan kesejahteraan apabila diukur berdasarkan penilaian orang ramai terhadap kehidupan mereka semasa pandemik.

“Sebagai penjelasan, berkemungkinan masyarakat melihat Covid-19 sebagai ancaman luar yang menjejaskan semua orang dan ini melahirkan nilai perpa­duan lebih erat dan berkongsi perasaan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, negara rantau Nordik seperti Denmark, Norway, Sweden Finland dan Iceland menduduki tempat teratas dalam menunjukkan sikap saling percaya dalam masyarakat. Sikap ini membantu melindungi nyawa dan mata pencarian semasa pandemik.

Menurut Universiti Johns Hopkins, Finland yang mempunyai populasi 5.5 juta orang me­nunjukkan prestasi lebih baik berbanding majoriti negara Eropah lain semasa pandemik dengan merekodkan lebih 70,000 kes dan hanya 805 kematian

Sementara itu, Malaysia menduduki tangga 81 senarai negara paling bahagia di dunia. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI