fbpx
Sebahagian motosikal yang diperiksa dalam Ops Sepadu Ambang Tahun Baru 2021 di Plaza Tol Batu 9 Cheras, Kuala Lumpur pada 31 Disember lalu.

Ramai pemandu haram di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Jabatan Pe­ngangkutan Jalan (JPJ) Selangor mendedahkan golongan pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) paling ramai tidak mempunyai lesen memandu dengan alasan tiada duit dan masa untuk membuatnya.

Pengarahnya, Nazli Md. Taib berkata, berdasarkan rekod sistem MySikap, seramai 18,057 individu terdiri daripada pesalah berusia antara 16 hingga 25 tahun tidak mempunyai lesen memandu ketika diperiksa dalam operasi dan sekatan jalan raya.

Katanya, mereka ini sanggup mengabaikan keselamatan diri dan orang lain demi kepentingan diri sendiri selain memberikan alasan lapuk ketika ditanya me­ngapa tidak mempunyai lesen.

“Jumlah itu adalah daripada keseluruhan 46,863 pesalah yang dikenal pasti dari tahun 2019 hingga 2020 menerusi pemeriksaan dan sekatan jalan raya di seluruh negeri.

“Mereka yang berusia kurang 16 tahun adalah seramai 7,765, manakala yang berumur 17 hingga 25 tahun merangkumi 10,292 individu yang tiada lesen,” kata­nya kepada Kosmo! ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Gambar hiasan

Tambahnya, sikap tidak me­­ngendahkan kepentingan me­miliki lesen memandu itu bukan sahaja berlaku kepada penduduk luar bandar, malah juga masyarakat di bandar. Mereka tidak sedar tindakan itu ha­nya akan mendatangkan pelbagai masalah dan kesukaran jika berlaku kemalangan.

Menurut Nazli, antara alasan yang diberi oleh penduduk luar bandar ialah tiada bas sekolah atau awam yang melalui kawasan mereka untuk pergi ke destinasi tertentu selain ibu bapa bekerja seterusnya mendorong menggunakan motosikal tanpa lesen.

“Siasatan juga mendapati, secara purata tempoh pengguna yang tiada lesen memandu adalah sekitar enam bulan yang berkemungkinan menyebabkan mereka boleh terlibat dalam sebarang aktiviti termasuk lumba haram,” katanya.

Ujar Nazli, antara alasan lapuk yang diberikan ketika ditanya mengapa tiada lesen ialah tiada masa, wang tidak cukup, ambil mudah peraturan JPJ, kurang dorongan ibu bapa dan susah untuk menjalani ujian serta latihan.

“JPJ Selangor sentiasa memberikan advokasi keselamatan jalan raya khususnya kepada pelajar sekolah selain ibu bapa bagi memantau pergerakan anak-anak mereka,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa yang membiarkan anak mereka memandu atau menunggang tanpa lesen boleh dikenakan denda RM2,000 mengikut Akta Pe­ngangkutan Jalan 1987.

“Ia sebenarnya terserah kepada individu itu sendiri untuk mengatur jadual bagi mengambil lesen memandu,” katanya.

Sementara itu, Nazli menegaskan, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 51,356 saman bagi tempoh dua tahun bermula 2019.

“Bagi kesalahan tiada lesen memandu merekodkan 46,863 saman dan lesen memandu tamat tempoh pula sebanyak 4,493.

“Jumlah jenis kenderaan yang diambil tindakan pula melibatkan 19,459 bagi kenderaan pe­ngangkutan barang seperti lori, motosikal (16,923), kenderaan (10,657) dan kenderaan perkhidmatan awam iaitu bas, teksi dan lain-lain dengan 4,317,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN