fbpx
Gambar hiasan

K2

Enggan berenggang kampung punca hubungan hancur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERTEMUAN antara Helmi dan Amira bermula ketika mereka sama-sama melanjutkan pelajaran di sebuah universiti terkemuka di utara tanah air.

Perkenalan itu membawa kepada bibit-bibit cinta sehingga masing-masing bersetuju menjadi pasangan kekasih ketika bergelar pelajar tahun akhir.

Selepas tamat pengajian, mereka pulang ke kampung halaman masing-masing dengan Helmi di sebuah negeri di utara Semenanjung manakala Amira menetap di sebuah negeri di selatan tanah air.

Helmi yang menuntut dalam bidang kejuruteraan berjaya mendapatkan kerja sebagai jurutera di sebuah kilang di negeri kelahirannya di Utara.

Hampir setahun bekerja, Helmi menyatakan hasrat untuk memperisterikan Amira meskipun gadis tersebut masih belum mempunyai pekerjaan tetap.

“Saya berkahwin dengan Amira atas dasar cinta dan kami pernah bercinta selama setahun lebih ketika zaman menuntut di universiti dahulu.

“Sepanjang perkenalan, Amira memang dikenali sebagai seorang yang manja. Disebabkan itu juga saya ingin memperisterikannya,” ujar Helmi ketika di temu bual K2 baru-baru ini.

Selepas berumah tangga, Helmi memberi kelonggaran kepada Amira untuk tinggal bersama ibu bapa wanita itu di kampungnya di Selatan bagi memastikan isteri disayangi dapat tinggal di dalam rumah yang selesa di tempat asalnya.

Justeru, Helmi terpaksa berulang-alik ke kampung Amira sebulan dua kali untuk bertemu dengan isterinya. Perjalanan dari Utara ke Selatan dengan kereta adalah selama lapan jam dengan jarak lebih 700 kilometer.

Sekiranya menggunakan kapal terbang, Helmi terpaksa mengeluarkan wang lebih iaitu sekitar RM600 bagi perjalanan pergi dan balik. Bagaimanapun, wang ringgit atau tenaga tidak pernah menjadi halangan buat Helmi untuk pulang ke rumah mertuanya.

“Saya baru mula kerja ketika itu, duit tidak cukup lagi untuk menyediakan sebuah rumah selesa buat Amira.

“Jadi, saya ikut sahaja permintaan isteri untuk kekal tinggal bersama ibu bapanya. Hampir setahun juga saya berulang-alik dengan kereta untuk bekerja dan bertemu isteri,” katanya.

Selepas setahun, Helmi berjaya membeli sebuah rumah pangsapuri berdekatan tempat kerjanya agar membolehkan mereka tinggal sebumbung.

Bagaimanapun, hasrat Helmi itu ditolak Amira memandangkan ketika itu dia sedang mengandung anak sulung mereka.

Ujar Helmi, Amira hanya bersedia untuk tinggal seorang diri selepas selamat melahirkan bayi di kampung kerana bimbang kesunyian di rumah.

 

 

BIARPUN sudah berumah tangga, kehidupan Helmi tidak terurus bagai tidak beristeri kerana wanita itu terlalu kerap pulang ke kampung.–GAMBAR HIASAN

“Saya menerima alasan diberikan Amira itu. Saya pun bimbang sekiranya dia sakit untuk bersalin ketika saya sedang bekerja.

Saya merelakan dia tinggal di kampung sehingga habis berpantang iaitu kira-kira dua bulan selepas melahirkan anak sulung kami,” katanya.

Selesai tempoh berpantang, Helmi membawa Amira ke pangsapuri mereka, sekali gus membolehkan pasangan itu tinggal bersama. Bagaimanapun, Amira menyatakan beberapa syarat sekiranya Helmi ingin wanita itu tinggal bersamanya.

“Salah satu syaratnya, dia mahu pulang ke kampung setiap bulan bagi membolehkannya bertemu ibu bapa. Saya tidak ada pilihan kecuali mengikut sahaja.

“Selepas itu, saya mula berfikir mungkin disebabkan sikap manja Amira membuatkannya sukar untuk berjauhan dengan ibu bapa di kampung,” tegasnya.

Selama beberapa bulan Helmi menuruti sahaja kehendak isterinya itu. Ada ketikanya, dia terpaksa membenarkan Amira pulang sendiri dengan kapal terbang sekiranya tidak mendapat cuti.

Cerita Helmi, Amira selalunya berada di kampungnya sekurang-kurang seminggu sebelum kembali ke rumah mereka sekali gus memaksa Helmi hidup berdikari sendiri bagai tidak beristeri.

Situasi ini menghadirkan rasa kurang senang kepada ibu Helmi yang melihat kehidupan anaknya yang tidak terurus disebabkan sikap Amira itu.

Lantaran itu, Helmi telah didesak oleh ibu Helmi sendiri supaya berpisah bagi membolehkan Amira terus tinggal bersama keluarga di kampung.

“Pada mulanya, saya tidak bersetuju desakan ibu. Saya bercadang untuk berpindah ke negeri kelahiran Amira dan mencari kerja di sana. Namun, saya gagal mendapat kerja dihajati.

“Disebabkan kegagalan itu berserta sifat manja Amira yang keterlaluan, saya tidak ada pilihan kecuali melepaskannya kembali ke pangkuan keluarganya,” ujarnya.

Selepas berfikir panjang, Helmi mengambil keputusan untuk berpisah dengan persetujuan bersama isterinya lalu memfailkan perceraian di mahkamah syariah.

Di mahkamah, hakim telah menasihati Amira supaya mengubah sikap sekiranya ingin berumah tangga lagi selepas ini.

“Hakim menasihati Amira supaya mencari pasangan yang tinggal dekat dengan kampungnya seandainya ingin berumah tangga supaya perpisahan tidak berlaku.
Meskipun sedih kerana terpaksa berpisah dengan insan disayangi, namun ia langkah tepat demi kebahagian kedua-dua belah pihak,” ujar Helmi yang sehingga kini masih hidup menduda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN