fbpx

Ramayan harap tidak jadi mangsa ‘pilih bulu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAMAYAN

SETELAH hampir empat tahun bertapa, kumpulan indie Ramayan yang dianggotai Syafie M. Nasir selaku vokalis, Omar Saifuddin (bass) dan Que Azeem (dram) akhirnya ‘keluar gua’ dengan membawa sebuah karya baharu iaitu album penuh bertajuk Di Persiaran Cakrawala.

Album yang mengandungi 10 buah lagu tersebut sarat dengan atmosfera dan ekspresi yang bervariasi. Malah, pendengar turut dibawa ke sebuah pengembaraan emosi dan pengalaman ‘sonic’ yang berbeza dengan penghasilan karya terdahulu.

Mengambil masa dua tahun untuk produksi pembuatan, album tersebut istimewanya menampilkan pemuzik berkaliber dari Indonesia, Mondo Gascaro selaku produser bersama. Beliau meluangkan masa selama sebulan di Malaysia untuk bekerjasama dalam proses rakaman.

EMPAT tahun bertapa, Ramayan kini bersedia menawan semula industri dengan buah tangan baharu berjudul Di Persiaran Cakrawala yang mengandungi variasi 10 buah lagu.

Sebagai mukadimah, Ramayan memilih lagu Lamunan Anak Bulan yang diangkat sebagai pemenang TAPAU Awards dalam kategori Lagu Terbaik pada Disember lalu sebagai single pertama untuk diketengahkan kepada peminat.

“Kami pilih Lamunan Anak Bulan sebagai single sebab percaya bahawa lagu ini adalah introduksi terbaik untuk memperkenalkan orang ramai kepada muzik kami.

“Sewaktu album ini dilancarkan, negara sedang menjalani PKP dan orang ramai pula dalam keadaan murung. Disebabkan itu, kami rasa lagu ini dapat menaikkan semangat pendengar yang sedang merenungi nasib masing-masing,” jelas Syafie yang turut bertindak sebagai pemain gitar dan keyboard.

Nusantara

Mengambil masa agak lama iaitu sekitar dua tahun untuk pembikinan, Syafie menjelaskan kelambatan berpunca daripada proses adunan bunyi yang sering diulang-ulang dan diperbetulkan.

“Susah untuk kami sebagai band berpuas hati dengan hasil kerja. Adakalanya sudah puas hati, tetapi apabila dengar semula selepas beberapa hari, ada bahagian perlu diperbetulkan. Kami mahu album ini menjadi sebuah karya yang menyerlah dari segi nilai komersial dan kritikal. Sebab itu ambil masa sedikit untuk proses produksi,” jelasnya.

Syafie yang merupakan anak kepada penyanyi tersohor Datuk M. Nasir memberitahu, Di Persiaran Cakrawala terinspirasi daripada muzik-muzik terdahulu terutamanya nama besar dunia seperti The Beatles, Todd Rundgren, ABBA dan David Bowie.

UNIK dan klasik. Hadir dengan pakej menarik, Ramayan bukan sahaja menawarkan jalur muzik yang bervariasi, namun lengkap dengan imej dan fesyen retro-futuristik.

Tidak hanya artis antarabangsa, Ramayan juga cenderung ke arah nuansa muzik nusantara seperti kumpulan Sweet Charity, Kembara dan Allahyarham Sudirman Arshad.

Kekuatan album tersebut terletak pada konsep yang lengkap dengan pakej antaranya muzik selari dengan visual yang dilihat pada imej kulit album dan fesyen yang diragakan mempengaruhi tema retro-futuristik.

Menariknya juga, buah tangan yang dirakamkan di studio Ronggeng, Luncai Emas tersebut menggunakan teknik rakaman ‘track-by-track’ dan kebanyakannya menggunakan barangan muzik klasik untuk mendapatkan kualiti dan nuansa rakaman seperti zaman 1970-an.

Simbolik

“Konsep album Di Persiaran Cakrawala simboliknya tentang pengembaraan ke arah kedewasaan secara personal dan juga sebagai sebuah band dalam menghasilkan album.

“Contohnya proses pembelajaran dari segi penulisan lagu, lirik dan emosi. Tidak terkecuali, sumbangan idea daripada setiap ahli band dan kendalian kerja di sebalik lagu seperti bahagian teknikal ‘mixing’ dan ‘mastering’,” ujar Syafie lagi.

Keseluruhannya, album tersebut menampilkan pelbagai aspek baharu yang dicuba mereka seperti penambahan kesan bunyi latar, penghasilan bunyi vintaj yang unik (penggunaan instrumen lama dengan teknologi baharu seperti plug-ins).

MUZIK itu luas dan bersifat universal. Atas sebab itulah, Ramayan meletakkan harapan menggunung agar karya muzik mereka dapat diterima pasaran arus perdana.

Uniknya lagi, album yang merupakan karya ciptaan sepenuhnya semua ahli Ramayan tersebut turut menampilkan Mondo bertindak selaku penerbit.

Malah, terdapat nama-nama lain yang menjalin kerjasama dalam pembikinannya seperti Irfan Aljufri (pengarah seni), Muntasir Mohamed (penata seni), Dhani Illiani (penata busana) dan Alif Ridzuan (jurugambar).

Pemain dram kumpulan itu, Que Azeem berkata, peluang bekerjasama Mondo diharap dapat membuka lembaran baharu buat Ramayan memasuki pasaran seberang.

“Beliau pernah mengetengahkan muzik Noh Salleh menerusi Angin Kencang. Dengan adanya Mondo dalam pembikinan album ini diharapkan dapat membantu membuka ruang untuk kami menerjah pasaran Indonesia,” jelasnya yang mengakui Ramayan merupakan peminat kumpulan Mondo iaitu Sore.

Terdahulu, Ramayan pernah melebarkan sayap dan membawa nama negara ke pentas antarabangsa menerusi persembahan mini dan jelajah festival luar negara antaranya di Jakarta, Indonesia dan Seoul, Korea Selatan.

RAMAYAN yang dianggotai tiga jejaka iaitu Omar Saifuddin (duduk, kanan), Syafie M. Nasir (kiri) dan Que Azeem (belakang) mahu karya ciptaan mereka sampai bukan sahaja kepada peminat tempatan, bahkan negara jiran seperti Indonesia.

Mereka juga pernah dipilih membuat persembahan pembukaan untuk pementasan kugiran terkenal dari Australia, The Temper Trap (2017) dan berkongsi pentas bersama pemuzik unggul dari Indonesia seperti kugiran Barasuara dan Matajiwa (Anda Perdana).

Disebabkan itu, tumpuan album kali ini bukan sahaja disasarkan untuk pendengar lokal semata-mata, bahkan juga diluaskan kepada pendengar di luar negara.

“Semua lagu dalam album ini adalah ‘killer’ dan ada kekuatan tersendiri. Wajib beli untuk mendengar kualiti berbeza daripada plattform lain,” kata Que.

Dengan taruhan muzik lebih berkualiti, Ramayan berharap pihak televisyen dan radio tidak memilih bulu untuk menonjolkan bunyian baharu. Supaya nanti, industri lebih terbuka, meriah dan bervariasi setaraf antarabangsa sekali gus menghapus sempadan antara muzik indie dengan arus perdana.

Hasrat Ramayan kepada peminat pula, agar seni dan muzik mereka dapat dihargai, difahami dan dihayati seterusnya dikongsi seluas yang boleh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI