fbpx

Elfie Beauty bangunkan jenama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelanggan Elfie Beauty tidak hanya wanita, malah golongan lelaki.

PETALING JAYA – Minat dalam bidang kecantikan sejak remaja telah merealisasikan impian Pengasas Elfie Beauty, Rubama Arpan untuk membuka sebuah pusat penjagaan kecantikan di Shah
Alam, Selangor pada awal tahun 2019.

Premis yang dijadikan pusat sehenti untuk pelbagai perkhidmatan kecantikan dan kesihatan dari kepala hingga ke hujung kaki itu memperlihatkan hasil titik peluh wanita berusia 35 tahun tersebut dalam membina jenama di dunia perniagaan yang semakin mencabar.

Beliau yang selesa dipanggil sebagai Allize berkata, pengalaman berniaga di Uptown Kota Damansara selama dua tahun dijadikan modal utama ketika membina empayarnya.

“Semasa berniaga di uptown, terlalu banyak cabaran dan kekangan perlu dihadapi kerana perkhidmatan berasaskan rawatan kecantikan pastinya melibatkan penjagaan kesihatan para pelanggan.

“Sumber air bersih memainkan peranan penting selain kesukaran menyediakan persekitaran selesa, namun kami tempuhi juga cabaran tersebut dengan azam untuk membuka sebuah butik
satu hari nanti.

“Namun dalam masa yang sama, di uptown inilah kami membina jenama, menambah pelanggan dan mengukuhkan rangkaian pasaran,” katanya ketika ditemui di butiknya baru-baru ini.

Allize menjelaskan, operasi perniagaan yang bermula 7 malam dan hingga 2 pagi di uptown mendapat sambutan menggalakkan khususnya untuk perkhidmatan menyambung bulu mata yang sangat diminati golongan remaja.

Tambah beliau, turut disediakan ialah perkhidmatan mengurut badan khususnya untuk wanita.

Kadar caj yang ditawarkan di situ adalah RM88 hingga RM150 untuk pelbagai sesi rawatan.

Allize

Setelah peluang terbuka luas untuk berpindah, wanita yang berhijrah ke Kuala Lumpur ketika berusia 12 tahun itu terus merangka strategi untuk mengembangkan perniagaan.

Ternyata dengan bantuan keluarga dan kakitangan, butik Elfie Beauty berjaya membina jenama dengan perkhidmatan sedia ada iaitu menyambung bulu mata dan mengurut.

Kini, beliau mampu menambah pelbagai perkhidmatan lain dan antara yang paling popular ialah waxing (mencabut bulu badan di bahagian tertentu) menggunakan teknologi Intense
Pulsid Light selain rawatan muka.

Inovasi dan teknologi terbaharu untuk menambah nilai perkhidmatan sentiasa dititik beratkan Allize agar butiknya tidak ketinggalan.

Perubahan gaya hidup, kuasa beli dan kehendak pelanggan yang mahu kelihatan cantik bukan sahaja di muka, malah di setiap anggota tubuh memerlukan anak kelahiran Raub, Pahang
ini sentiasa membuat kajian untuk memenuhi keperluan yang pelbagai.

“Pelanggan kami berbilang bangsa berusia seawal 18 tahun hingga lebih 45 tahun, kebanyakannya berkerjaya dan ada juga golongan suri rumah.

“Sekitar 80 peratus daripada mereka terdiri daripada pelanggan setia,” ujarnya.

Elfie Beauty menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk waxing, rawatan muka dan sambungan bulu mata yang menjadi kegemaran remaja masa kini.

Allize yang pernah mengalami masalah kulit pada tahun 2017 berkata, berniaga dalam bidang kecantikan memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan dalam menguruskan kehendak
pelanggan kerana ada kalanya perkhidmatan ditawarkan tidak bersesuaian dengan setiap individu, khususnya melibatkan kulit seseorang.

Jelasnya, perbincangan menyeluruh serta penerangan yang betul penting agar pelanggan faham terhadap impak dan kesan rawatan yang dipilih.

“Ada juga pelanggan yang berdegil dan tidak mahu mendengar nasihat, kemudian mereka menuduh kami cuai apabila masalah timbul pada kulit wajah.

“Adat berniaga, itu adalah asam garam buat kami. Apa yang menjadikan kami kuat adalah apabila pelanggan kembali bertandang kerana berpuas hati dengan pengalaman mereka
menggunakan perkhidmatan kami sebelum ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI