fbpx

Pemilik bengkel rugi RM80,000 akibat perbuatan khianat bakar van

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan dalam bahagian kabin pemandu sebuah van yang terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat dalam satu kejadian di bengkel ubah suai di Taman Mas, Puchong semalam.

SEPANG – Seorang pemilik bengkel mengalami kerugian kira-kira RM80,000 selepas bahagian kabin pemandu sebuah van yang diletakkan di bengkel itu terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat dalam kejadian di Taman Mas, Puchong dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian itu disedari pemilik bengkel berkenaan selepas dimaklumkan oleh rakan niaganya yang tiba ke premis itu kira-kira pukul 8.30 pagi.

Beliau berkata, mangsa yang tiba kira-kira sejam kemudian mendapati terdapat kesan umpil pada pintu pejabat selain menyedari kunci mangga di pintu pagar utama tiada dipercayai telah dipotong dan dibuang.

“Mangsa seterusnya ke sebuah van jenis Toyota Hiace Panelvan warna putih milik pelanggan yang belum didaftarkan dan terkejut melihat cermin kenderaan itu berwarna kehitaman.

“Dia berasa curiga kerana van tersebut dalam keadaan tidak berkunci dan mendapati terdapat kesan terbakar di bahagian kabin pemandu,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata, pengadu kemudiannya masuk semula ke dalam pejabat untuk membuat pemeriksaan dan mendapati kunci van yang disimpan dalam kotak di atas meja komputer beralih ke atas meja pejabat.

“Hal ini menyebabkan mangsa percaya kedai itu telah dipecah masuk dan van tersebut dibakar atas perbuatan khianat,” katanya.

Wan Kamarul Azran berkata, siasatan polis di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan kopak pada pintu pejabat manakala kawasan bengkel di atas tanah lot itu berpagar zink tetapi tidak menyeluruh serta dikelilingi kawasan belukar.

Menurutnya, selain van itu, terdapat dua buah van lain di dalam bengkel tersebut yang juga dalam proses pembaikan.

“Tiada televisyen litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian manakala CCTV di sebuah kuil yang terletak di seberang hujung laluan jalan ke bengkel itu tidak menghala ke tempat kejadian.

“Saksi bebas juga tiada semasa kejadian dan cap jari pada van dan kunci gagal ditimbulkan kerana telah diusik serta faktor sekitar,” katanya.

Katanya, kes masih disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI