fbpx

KPDNHEP Johor lupus barang kes RM1.2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KPDNHEP Johor melupuskan pelbagai barangan tiruan bernilai RM1.2 juta di Stor Eksibit, Senai, Johor hari ini. /Foto IHSAN KPDNHEP

JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor melupuskan pelbagai barangan tiruan bernilai RM1.2 juta di stor eksibit KPDNHEP Johor, Senai dekat sini hari ini.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDNHEP, Shamsul Nizam Khalil berkata, pelupusan itu melibatkan 10,861 unit barangan tiruan membabitkan 35 kes kertas siasatan yang telah selesai bagi tempoh dua tahun bermula 2018 hingga 2020.

“Kesemua barangan adalah kes rampasan melibatkan pelanggaran Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Cap Dagang 2019, dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Barangan tiruan yang dilupuskan itu antaranya adalah pakaian, beg tangan, kasut, arak tiruan manakala barangan melibatkan hak cipta seperti perisian komputer, cakera video digital (DVD) dan cakera padat video (VCD),” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, kesemua barangan ini dilupuskan selepas mendapat arahan daripada pengawal dan mahkamah.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati peniaga agar mematuhi undang-undang yang ditetapkan terutamanya membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan bagi mengelak dikenakan tindakan.

“Pengguna dinasihatkan untuk tidak membeli barang tiruan kerana produknya tidak berkualiti selain sebagai inisiatif melindungi harta intelek pemilik asal cap dagang,” ujarnya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI