fbpx

Selitan harapan kehangatan Liga M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
SOPI SAMAILE,
PENGARANG BERITA KOSMO.

MALAM Sabtu dan Ahad yang cukup meriah.

Ramai yang bersorak dan tidak kurang yang menongkat dagu selepas menyaksikan pasukan kesayangan masing-masing memulakan saingan Liga Malaysia (Liga M) secara rasmi sejak Jumaat lalu.

Liga M rasmi membuka tirai sebaik sahaja wisel perlawanan Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dibunyikan tepat pukul 9 malam Jumaat lepas.

Tahniah buat skuad Harimau Selatan yang menjulang kembali Piala Sumbangsih atau Piala Sultan Ahmad Shah selama empat musim berturut-turut selepas membenam KDA FC 2-0 di Stadium Sutan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Secara tidak langsung, JDT memulakan saingan Liga M dengan meraih tiga mata berharga memandangkan perlawanan tersebut diambil kira dalam carta Liga Super.

Apa yang menariknya saingan musim ini, Liga Super atau Liga Premier ibarat sudah tiada ‘kasta’ kerana ke­dua-dua saingan tersebut dilihat menampilkan tentangan sengit pada tahap elit.

Bukan pujian melangit, namun Liga M yang dilihat begitu hangat pada minggu pertama kemungkinan disebabkan langkah penswastaan pasukan secara menyeluruh telah mencetuskan elemen keterujaan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.

Pastinya para peminat mahu melihat hasil yang diperoleh daripada pasukan-pasukan berwajah baharu dan sudah menjalani proses penswastaan.

Tidak mengira pasukan Liga Super atau Liga Premier, wajah, logo serta nama baharu pasukan Liga M dilihat sudah menimbulkan keterujaan, itu belum lagi menyaksikan perlawanan berlangsung.

Pada masa sama, sebahagian pasukan juga sanggup melakukan pelaburan besar termasuk melantik jurulatih hebat dari dalam dan luar negara hingga menarik perhatian ramai apatah lagi pemain-pemain importnya.

Jika meneroka media sosial terutamanya Facebook pada malam Sabtu lalu, ia penuh dengan status dan muat naik pasal cerita pasukan-pasukan yang sedang bersaing pada Liga M.

Ada yang memuji bahkan berkongsi pendapat tentang pemain baharu, taktikal baharu, warna jersi, gaya permainan dan gaya jurulatih baharu.

Pada penulis, kehangatan saingan Liga M musim ini menyaksikan ia memberi satu harapan kepada rakyat Malaysia yang sudah lama berdepan masalah pandemik Covid-19 dan kemuraman akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setidak-tidaknya, Liga M dapat mengisi kekosongan di hati rakyat negara ini yang sudah lama hilang keceriaan, keterujaan, kegembiraan atau ledakan adrenalin dalam diri untuk bangkit.

Penulis juga berharap kehangatan Liga M pada setiap minggu akan dapat menjana atau memangkin semangat rakyat bukan hanya untuk memeriahkan sukan bola sepak semata-mata bahkan mengambil peluang ekonomi yang bakal ditawarkan selepas ini.

Pada akhirnya, dalam kehangatan mahupun keme­riahan Liga M ketika ini, penulis berharap rakyat Malaysia tidak terleka sebaliknya kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam memutuskan rantaian pandemik Covid-19.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI