PEKAN – Hanya tinggal geran.
Itulah realiti yang terpaksa dihadapi oleh ahli perniagaan, Edde Firdaus Abdul Aziz, 41, apabila tanah miliknya seluas 0.4 hektar di Pantai Tanjung Batu di sini bertukar menjadi laut.
Tanah yang tinggal pula semakin terhakis dan bakal lenyap menjadi lautan disebabkan kejadian hakisan.
Edde Firdaus berkata, tanah seluas 1.2 hektar di kawasan itu dibelinya dengan harga RM300,000 enam tahun lalu.
Kawasan itu kemudiannya dibangunkan dengan chalet secara berperingkat melibatkan kos keseluruhan RM600,000.
Namun, kini tujuh unit chalet, bangunan pejabat, cafe, dobi dan dua buah gazebo miliknya musnah akibat hakisan.
“Saya kecewa kerana membangunkan kawasan ini sebab minat yang mendalam pada keindahan alam semula jadi.
“Disebabkan itu, saya sanggup melaburkan wang mencecah enam angka untuk membangunkan kawasan ini, namun sayangnya ia lenyap sedikit demi sedikit,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Antara tarikan di chalet Kekunang Tering yang dibangunkan lelaki itu adalah rumah atas pokok.
Edde Firdaus berkata, disebabkan masalah hakisan itu, dia kerugian RM900,000.
“Lebih menyedihkan, bukan sahaja chalet musnah, malah ia melenyapkan keindahan pantai yang terkenal dengan kunang-kunang,” katanya.
Edde Firdaus berkata, hakisan di kawasan itu bermula selepas pembinaan benteng pemecah ombak di kawasan pembangunan agropolitan bersebelahan pantai itu enam tahun lalu.
“Sejak kebenaran rentas daerah dibenarkan, setiap hari saya menerima secara purata 50 panggilan telefon daripada pelanggan yang mahu membuat tempahan chalet, tetapi mereka tidak tahu semuanya telah lenyap ditelan laut,” katanya.
Sementara itu, Edde Firdaus berharap kerajaan supaya dapat membangunkan semula chalet yang musnah termasuklah bantuan kewangan atau tanah.














