fbpx

TH tumpu agihan keuntungan stabil pada masa depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) menyasarkan agihan keuntungan yang lebih stabil pada masa depan, selaras dengan matlamat penubuhannya untuk menguruskan wang umat Islam bagi mengerjakan ibadah haji.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff berkata, keselamatan pelaburan amat penting dan TH tidak boleh mengambil risiko terlalu tinggi dengan kesan penyusutan ekonomi negara dan dunia akibat Covid-19.

“Keuntungan yang dicapai TH didorong oleh prestasi dan kedudukan kewangan yang lebih baik berbanding tahun sebe­lumnya, selain langkah pengurusan kos yang berhemah.

“Agihan keuntungan tahun 2020 juga lebih kompetitif jika dibandingkan dengan pulangan daripada akaun simpanan tetap di perbankan Islam,” katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zulkifli Mohamad Al Bakri kelmarin mengumumkan kadar agihan keuntungan sebanyak 3.10 peratus selepas zakat melibatkan jumlah RM2.24 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

Sebagai perbandingan, purata kadar deposit runcit perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan ialah 2.56 peratus.
Menurut Nik Mohd. Hasyudeen, TH merekodkan keun­­­tu­ngan bersih selepas zakat hampir RM2.23 bilion bagi tahun ke­wa­ngan 2020, pertumbuhan seba­nyak 22 peratus atau RM397 juta berbanding tahun sebelumnya.

“Prestasi keseluruhan pendapatan TH tahun lalu disokong oleh beberapa aktiviti pelaburan termasuk aset pendapatan tetap yang telah menjana pendapatan sebanyak RM1.90 bilion, pelaburan saham (RM430 juta), pelaburan hartanah (RM352 juta) dan instrumen pasaran wang Islam (RM318 juta),” katanya.

Kedudukan kewangan TH kekal stabil setakat 31 Disember 2020 dengan jumlah aset me­lebihi jumlah liabiliti sebanyak RM3.68 bilion (sebelum agihan keuntungan kepada pendeposit) berdasarkan jumlah aset keseluruhan sebanyak RM81.85 bilion dan jumlah liabiliti RM78.17 bilion.

Sebanyak 51 peratus daripada peruntukan aset TH dilaburkan dalam sukuk yang menawarkan pendapatan tetap, selaras dengan Alokasi Aset Strategiknya yang memberi penekanan kepada pelaburan jangka panjang, pendapatan berulang, selamat serta mempunyai daya ketahanan risiko.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI