fbpx

MyCar sasar 10,000 tempahan sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Platform Apps Sdn. Bhd., pengendali operasi platform e-hailing MyCar melancarkan aplikasi MyCar 3.0 semalam.

Versi baharu itu bertujuan untuk mengatasi pelbagai kelemahan yang wujud pada aplikasi MyCar 2.0 yang diperkenalkan pada Ogos lalu, seterusnya memberi perkhidmatan yang lebih stabil dan diyakini rakan pemandu serta pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Noah Maideen berkata, MyCar 3.0 dibangunkan sepenuhnya melalui 100 peratus kepakaran tempatan.

“MyCar 2.0, yang juga dikenali sebagai MyCar Super App merupakan satu platform yang memiliki beberapa perkhidmatan, namun sistem aplikasi ini kurang stabil dan boleh dikatakan telah gagal.

“MyCar 3.0 ini telah mengatasi kesemua kelemahan lalu dan boleh mula dimuat naik esok (hari ini), jadi saya meminta semua pengguna memadamkan aplikasi MyCar yang lama dan menggunakan versi baharu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Mohamed semalam.

Menurut Mohd. Noah, pihak­nya memiliki pelbagai perancangan untuk MyCar 3.0 dan sebagai permulaan, aplikasi tersebut akan memfokuskan kepada perkhidmatan e-hailing dan penghantaran barangan.

Selain itu, beliau menerangkan, perkhidmatan tempahan makanan yang dinamakan sebagai MyMakan akan diperkenalkan menerusi aplikasi tersebut pada Jun ini manakala menje­lang hujung tahun, syarikat bakal melancarkan perkhidmatan berbentuk e-dagang pada platform berkenaan.

Jelasnya, pihaknya berkeyakinan mampu menarik kembali rakan pemandu MyCar yang lama dan untuk pelanggan, pelbagai aktiviti promosi akan dijalankan bagi menambat hati mereka.

“Untuk bulan pertama, kami menyasarkan 10,000 tempahan sehari.

“Kami masih belum menetapkan paras komisen yang akan dikenakan kepada rakan pemandu, namun untuk tempoh dua hingga tiga minggu pertama, mereka tidak akan dikenakan sebarang komisen,” jelasnya.

Mohd. Noah berkata, aplikasi MyCar sebelum ini telah dimuat turun sebanyak 3.5 juta kali dan sebelum pandemik berlaku, syarikat memiliki 145,000 rakan pemandu serta me­ngendalikan 60,000 tempahan perjalanan sehari.