fbpx

Babak panas? Jasmine Suraya okey

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JASMINE SURAYA

LUMRAH seorang manusia, sentiasa mencari dan ingin mengejar sesuatu untuk dicapai sebagai kepuasan.

Kepuasan. Itu yang didambakan si cantik Jasmine Suraya meskipun sudah berkelana sebagai anak seni sejak tujuh tahun lalu.

Bagi anak kelahiran Kuching, Sarawak itu, perjalanannya sebagai pelakon masih belum mencapai tahap yang diinginkan.

Pemilihan watak lakonan dan kefasihannya bertutur bahasa Melayu antara yang belum diraih sepenuhnya.

Atas tiket berkarya dan inginkan kelainan, wanita genit itu tidak menolak sekiranya dia perlu melakonkan babak panas atau ranjang dalam mana-mana naskhah drama atau filem.

TIDAK berselindung, pelakon Pelindung Seorang Puteri itu mahu melakonkan aksi ranjang bersama pelakon kacak Remy Ishak sekiranya diberikan kesempatan.

Babak panas

Tutur pemilik nama penuh Jasmine Suraya Chin Xian Mei itu, dia sanggup melakonkan babak berkenaan sekiranya adegan tersebut memperkuatkan lagi jalan cerita sesebuah karya.

“Ya, saya okey sekiranya watak yang dilakonkan perlu melakukan aksi atau babak panas.

“Syaratnya, adegan tersebut dilakukan sebagai sebahagian jalan cerita dan bukannya untuk melariskan naskhah berkenaan semata-mata,” tutur wanita berusia 31 tahun itu kepada HibGlam baru-baru ini.

Menganggap adegan sebegitu sebagai satu cabaran, pelakon drama Adellea Sofea itu mengatakan tanggungjawab sebegitulah yang mahu disambutnya bagi melengkapkan portfolio seni.

Ujarnya, jika tidak sanggup berbuat demikian, dia mungkin tidak tahu tahap kemampuan diri sebagai pelakon.

“Tidak semestinya berlakon babak panas, terus digelar sebagai pelakon lucah. Adegan tersebut bukannya dilakukan betul-betul, hanya teknik kamera sahaja.

“Sebagai pelakon, memang itu antara perkara yang saya akan lakukan. Mengapa tidak?,

“Setiap pelakon pasti inginkan kelainan dalam perjalanan karier mereka. Jadi, jika saya berpeluang untuk tampilkan kelainan, babak panas ialah salah satu daripadanya” katanya lagi.

JASMINE tidak mahu lagi dirinya dibayangi watak-watak antagonis lakonannya dan ingin mencuba lebih banyak karakter lain pada masa akan datang.

Remy Ishak

Menghangatkan situasi, sekitar Januari lalu, Jasmine juga pernah menyuarakan hasrat untuk melakonkan babak panas dengan hero kegemaran Malaya, Remy Ishak.

Ujarnya idea pemilihan Remy sebagai pasangan impiannya bukanlah sekadar main petik, sebaliknya dia mempunyai alasan tersendiri.

“Saya bukannya main sebut sahaja nama Remy. Jujurnya dia pelakon lelaki yang saya ingin bekerjasama satu hari nanti.

“Dia antara pelakon lelaki yang sehingga kini masih kekal dalam kelasnya. Jarang melihat dia berlakon sebagai ayah atau orang tua.

“Bagi saya, karakternya yang sangat seksi dan misteri itu sangat sesuai sekiranya dia jadi pasangan saya bagi adegan berkenaan. Panasnya!,” ujar Jasmine dengan nada teruja.

Mengakui seronok dengan kecaman yang diterima selepas menjayakan karakter antagonis, Jasmine berasa puas apabila lakonannya berbekas di hati penonton.

MENGAKUI masih sukar untuk menjayakan watak sedih, pelakon cantik itu nekad menyertai kelas lakonan online belajar teknik menjiwai sesuatu karakter dengan lebih berkesan.

Antagonis

Watak Jenny dalam naskhah Bidadari Salju dan Suzie Tan (Adellea Sofea) merupakan antara lakonan Jasmine yang berjaya mengangkat namanya sebagai pelakon antagonis.

“Seronok apabila ramai yang respons dan mengecam watak saya. Lucu melihat semua komen.

“Selepas ini mungkin saya perlu kurangkan atau tidak melakonkan lagi watak antagonis, nak cuba yang lain pula,” ujarnya.

Berbicara lanjut, aktres filem Paskal itu ingin lebih selektif bagi mempelbagaikan karakter lakonan.

“Saya teringin nak cuba watak wanita buta dan autisme. Mencabar sebab akan bermain dengan banyak emosi.

“Buat masa sekarang saya mungkin akan berhenti sekejap daripada bawa watak antagonis,” tuturnya.

Kurang fasih dan masih pelat bertutur dalam bahasa Melayu, Jasmine merasakan dua perkara tersebut antara kelemahan dirinya sebagai pelakon.

“Saya tidak malu untuk mengakui kelemahan sendiri. Jika tidak tahu kekurangan diri, sampai bila hendak ada kemajuan?

“Selain itu, saya juga mengikuti kelas lakonan secara dalam talian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan 2.0. Saya mahu lakonan saya lebih berbekas dalam hati penonton selepas ini,” tutupnya.

Solekan: VeeXandra (IG @queenxenddra_)
Busana: Calvin Thoo (IG @calvinthoo)
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI