fbpx

Setahun tahan rindu anak terkandas di Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Radi (tengah) bersama ahli keluarga dan pihak Konsulat Malaysia di Batam Centre Point International Ferry Terminal, Batam, Indonesia sebelum bertolak ke Terminal Feri Stulang Laut, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang bapa lega apabila kembali disatukan semula dengan anaknya, Ahmad Radi Djonnaidi, 12, yang terkandas di Indonesia sejak setahun lalu apabila anaknya pulang ke pangkuannya hari ini.

Ahmad Radi tiba di Terminal Feri Stulang Laut di sini pukul 12.30 tengah hari bersama tiga lagi rakyat Malaysia yang terkandas di negara republik itu akibat penularan pandemik Covid-19.

Bapa Ahmad Radi, Djonnaidi Tamam, 57, dan isteri, Ratna Dewi, 42, berasal dari Tanjung Balai, Indonesia terharu kerana urusan membawa anak sulungnya pulang berhasil dengan bantuan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Johor dan Alumni 4B Negeri Johor.

Djonnaidi sebelum ini, buntu untuk memikirkan cara terbaik untuk membawa semula anaknya pulang ke rumah mereka di Kampung Pasir, Tampoi.

“Kami sekeluarga amat merindukan Ahmad Radi. Semasa terkandas di sana, anak saya tinggal bersama-sama neneknya di Kampung Panker, Tanjung Balai. Saya bersyukur dan amat berterima kasih kepada DMDI Johor,” katanya kepada pemberita hari ini.

Djonnaidi memiliki taraf penduduk tetap (PR) manakala Ahmad Radi berstatus warganegara.

Hari ini, Ahmad Radi bersama tiga rakyat Malaysia selamat tiba di negara ini selepas terkandas di Indonesia akibat pandemik Covid-19.

Mereka terdiri daripada Md. Roslan Kadir, 43; Faizal Jailani, 38, dan Mohd. Faizul Hakimi, 21, yang berasal dari Melaka.

Kepulangan mereka ke tanah air ini disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dari Melaka dan Pengerusi DMDI Johor Bahru, Sumawan Md. Som.

Nor Azman ketika ditemui mengakui lega setelah proses membawa pulang ketiga-tiga lelaki Melaka itu berjalan lancar tanpa sebarang rintangan.

“Keempat-empat mereka akan dikuarantin selama 10 hari di sebuah hotel di bandar raya ini dengan semua kos akan saya tanggung. Sebelum ini pihak kami berurusan dengan Konsulat Malaysia di Medan, Indonesia untuk ketiga-tiga lelaki ini,” katanya.

Sebelum ini, Md. Roslan dan Faizal Jailani yang merupakan nelayan dari Pantai Kundor, Tanjung Kling, Melaka hanyut hingga ke Pulau Rupat dekat Bengkalis, Indonesia pada 18 Februari lalu selepas perahu mereka karam.

Mohd. Faizul pula dari Batu Berendam, Melaka yang ditahan di Depoh Imigrasi di Bengkalis sejak hujung tahun lalu manakala Ahmad Radi terkandas di Tanjung Balai, Karimun, Indonesia sejak setahun lalu semasa mendaftar di sebuah sekolah pondok di sana pada Februari 2020. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI