fbpx

Penjawat awam, isteri ditahan kes dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shariman (kanan) menunjukkan sebahagian dadah selain bakul kain yang dirampas dalam serbuan di Kampung Baru Ulu Melaka pada petang semalam.

LANGKAWI – Seorang penjawat awam dan isterinya merupakan antara lima individu yang ditahan bersama sejumlah dadah jenis heroin dan syabu dianggarkan bernilai RM17,284 dalam serbuan di Kampung Baru Ulu Melaka di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, polis menyerbu sebuah rumah di kampung itu kira-kira pukul 4.30 petang dan menahan empat lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 43 tahun.

“Dua daripada empat suspek cuba melarikan diri sehingga berlaku sedikit pergelutan, namun kedua-duanya berjaya ditahan.

“Pemeriksaan di rumah tersebut menemui tujuh peket plastik lut sinar berisi heroin dianggarkan seberat 270 gram (g) dan 17 peket plastik lut sinar berisi syabu seberat 32.6 g,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi di sini hari ini.

Katanya, susulan daripada serbuan itu, polis menahan seorang wanita berusia 41 tahun di dalam sebuah kereta yang diletakkan berhampiran rumah berkenaan.

“Wanita terbabit merupakan isteri kepada salah seorang suspek berusia 35 tahun yang merupakan kakitangan awam,” ujarnya.

Menurut Shariman, pemeriksaan ke atas but kereta tersebut menemui menemui sampul surat berwarna kuning yang diletakkan di atas bakul kain yang diterbalikkan.

“Sampul surat itu didapati mengandungi tiga peket plastik lut sinar berisi dadah jenis heroin dengan berat 78.8 g.

“Susulan penahanan wanita terbabit, polis merampas satu peket plastik lut sinar berisi dadah heroin dengan berat 51g yang disimpan di dalam almari baju di dalam bilik tidur di sebuah rumah di Jalan Ayer Hangat di sini pada pukul 5.30 petang semalam,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI