fbpx
Gambar hiasan.

Malaysia terima vaksin Covid-19 jenis Sinovac esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Malaysia akan menerima ketibaan vaksin Covid-19 Sinovac di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan MH319 kira-kira pukul 9 pagi esok.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi kenyataan akhbar berkata, vaksin keluaran China itu diterbangkan dari Kilang Sinovac di Beijing, China oleh MABkargo Sdn. Bhd. (MASKargo).

Menurutnya, vaksin itu tiba secara pukal dalam bentuk cecair sebanyak 200 liter dan diterbangkan dengan penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) menggunakan pesawat Airbus 300, yang kemudian boleh diproses menjadi lebih daripada 300,000 dos.

“Perjalanan vaksin ini dari kilang Sinovac di Beijing, China telah diuruskan oleh Sinovac dan Pharmaniaga Logistics Sdn. Bhd. melalui perjanjian di peringkat global.

“Malaysia dijadualkan memperolehi 14 juta dos vaksin Sinovac secara berperingkat yang akan melindungi kira-kira 22 peratus populasi penduduk di negara,” katanya.

Katanya, perolehan vaksin Covid-19 Sinovac adalah bukti kepada hubungan baik antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik China.

Majlis ringkas menyambut ketibaan vaksin itu di KLIA esok akan disertai Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong.

Turut dijangka hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Duta Republik China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Malaysia telah memulakan PICK pada Rabu lalu yang mana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech.

PICK dibahagikan kepada tiga peringkat yang mana Fasa 1 membabitkan petugas barisan hadapan bermula 1 Februari ini hingga April depan,

Manakala, Fasa 2 pula akan membabitkan warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi bermula April ini hingga Ogos depan.

Sementara Fasa 3 membabitkan penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas bermula Mei ini hingga Februari tahun depan. – K! ONLINE