fbpx

Langgar SOP boleh dikompaun sehingga RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Individu yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19 boleh dikenakan kompaun maksimum RM10,000 berkuat kuasa 11 Mac ini.

Bagi syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan sama boleh dikenakan kompaun maksimum RM50,000.

Kadar kompaun itu dinyatakan dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan semalam.

Ketika ini kesalahan melanggar SOP bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19 cuma dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

Kadar kompaun dinaikkan susulan penggantian Seksyen 25 yang memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kesihatan atau mana-mana pegawai kesihatan yang diberi kuasa oleh Pendakwa Raya.

Semua perbuatan menyalahi Ordinan Darurat juga kini boleh ditangkap.

Selain itu, ordinan sama juga menetapkan mana-mana individu yang dijangkiti atau dipercayai telah dijangkiti atau mana-mana kontak rapat boleh diperintah memakai peranti pengesanan.

Peranti pengesanan itu termasuk gelang tangan atau apa-apa peranti yang diberikan oleh pegawai yang diberi kuasa dan sebarang perbuatan memusnah, merosak, menghilang atau mengubahnya merupakan satu kesalahan.

Dalam pada itu, pindaan terhadap penalti am mengikut Seksyen 24 ordinan sama bagi kesalahan yang tiada penalti diperuntukkan dengan nyata kini boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya sekali. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI