PUTRAJAYA – Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara dibenarkan beroperasi mulai 1 Mac ini.
Kemas menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, pengoperasian Tabika dan Taska itu termasuk juga di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor.
Menurutnya, pembukaan itu selaras dengan pengumuman pengoperasian semula semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) secara bersemuka yang membabitkan murid-murid Prasekolah, Tahun 1 dan Tahun 2 bermula 1 Mac ini.
“Bagaimanapun, pembukaan operasi Tabika dan Taska itu adalah mengikut prosedur operasi
standard (SOP) yang telah dipersetujui antara Kemas, KPM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kemas berharap ibu bapa tidak khuatir untuk menghantar anak-anak mereka pada 1 Mac ini,” katanya.
Katanya, seramai 10,517 orang pendidik masyarakat Tabika dan 1,790 orang pendidik masyarakat Taska Kemas telah diberi panduan berkaitan pematuhan SOP yang dikeluarkan sebelum ini. -K! ONLINE