fbpx

Lelaki cuba samun guna pistol mainan ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEHELAI t-shirt dan sepucuk pistol mainan yang digunakan suspek ketika cuba menyamun sebuah kedai serbaneka di Pekan Kundang pada Isnin lalu.

PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki cuba menyamun sebuah kedai serbaneka dengan menggunakan pistol mainan di Pekan Kundang dekat sini mengundang padah selepas dia ditahan semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, suspek merupakan warga tempatan berusia 26 tahun telah ditahan pada pukul 11 pagi di Jalan Besar, Rawang.

“Siasatan awal mendapati, pada Isnin lalu suspek telah datang ke sebuah kedai serbaneka di Pekan Kundang sebelum mengacukan objek disyaki pistol kecil ke arah pekerja wanita berusia 35 tahun di kedai berkenaan.

“Suspek kemudian telah meminta wang dan mengarahkan wanita berkenaan untuk membuka peti wang di kaunter namun mangsa mengatakan tidak boleh berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, suspek kemudian telah meminta sekotak rokok sebelum beredar dari kedai berkenaan.

“Bertindak atas maklumat, polis telah berjaya menahan suspek dan merampas sepucuk pistol mainan berwarna hitam serta sehelai t-shirt warna biru yang digunakan ketika kejadian.

“Hasil semakan mendapati, suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan kini ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut,” jelasnya.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI