fbpx

Terjun Sungai Golok, tinggalkan burung kakak tua bernilai RM21,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian burung kakak tua yang cuba diseludup masuk ke negara ini menggunakan pangkalan haram Pasir, Kampung Tok Deh semalam.

RANTAU PANJANG – Seorang penyeludup bertindak nekad apabila dia terjun ke dalam Sungai Golok selepas cubaannya untuk menyeludup masuk burung kakak tua secara haram dari negara jiran berjaya dikesan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 semalam.

Dalam serbuan pukul 8.39 malam di pangkalan haram Pasir, Kampung Tok Deh di sini, suspek terus melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota PGA.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar berkata, rampasan 15 ekor burung itu dianggarkan bernilai RM21,350 yang merupakan antara spesies yang dilindungi.

Menurutnya, kejayaan itu merupakan hasil rondaan rutin menggunakan motosikal yang dilakukan di kawasan Op Benteng Covid-19 berhampiran pangkalan haram itu.

“Semasa rondaan itu, anggota PGA telah melihat seorang lelaki sedang memunggah kotak-kotak ke tebing Sungai Golok di sempadan negara kita.

“Menyedari kehadiran anggota PGA, lelaki itu telah terjun ke dalam Sungai Golok untuk menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasan Basri memberitahu, hasil pemeriksaan di lokasi it telah membawa kepada penemuan empat kotak mengandungi 15 ekor burung kakak tua.

“Semua barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati, permintaan tinggi terhadap burung kakak tua menjadi punca utama haiwan itu diseludup masuk ke negara ini,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI