fbpx
DARI kiri: Hannah, Shermaine dan Raisa menampilkan koleksi Kapsul Lunar yang dihasilkan mereka. – AFIQ FARIDZ

Koleksi organik Kapsul Lunar tiga sekawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIGA orang sahabat berganding bahu berkongsi inspirasi untuk mengangkat fesyen organik, mesra alam dan pada masa sama membantu mereka yang memerlukan.

Kolaboratif eksklusif itu dijayakan oleh Hannah Nazasli, Raisa Gabrielli dan Shermaine Tay.
Mereka mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing iaitu Hannah bertanggungjawab sebagai pereka, manakala Raisa membekalkan bahan dan Shermaine mahir dalam seni ikat celup.

Hasil gabungan mereka bertiga, terciptalah koleksi Kapsul Lunar yang didatangkan dengan enam corak sulaman tangan istimewa seperti kucing, singa, oren mandarin, angpau dan nanas.

Menariknya, koleksi tersebut yang menggunakan sepenuhnya kain kapas organik turut menyuntik elemen istimewa Malaysia iaitu batik.

Menurut pereka dan pengasas StitchWorks, Hannah, koleksi tersebut menggunakan 100 peratus bahan organik termasuklah bahan untuk mewarnakan fabriknya.

“Kami menggunakan bahan-bahan semula jadi untuk mewarna fabrik seperti kulit bawang, avokado, kunyit dan buah beri biru.

“Kain ini perlu dimasak bersama pewarna asli itu selama dua ke empat hari dan dikeringkan selama empat hari agar betul-betul meresap di dalam fabrik serta tahan lebih lama,” tutur pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dan Pemasaran dari Universiti Curtin, Perth, Australia.

Tambah Hannah, mereka cukup teruja mewarna kain menggunakan bahan semula jadi itu apatah lagi ia merupakan pengalaman pertama bereksperimentasi dengannya.

Dia juga menggunakan benang terpakai untuk membuat sulaman tangan bagi menghasilkan corak pada baju tersebut.

 

BAJU yang digayakan Hannah ini mempunyai corak yang menarik dengan suntikan batik selain bersulamkan imej singa.

 

Sehubungan itu, keseluruhan koleksi itu dihasilkan secara organik dengan konsep sifar sisa buangan.

Jelas anak sulung daripada tiga beradik itu, mereka ingin menyokong penghasilan produk yang menggunakan 100 peratus bahan organik dan mesra alam.

Sementara itu, bagi proses membuat sulaman pula, Hannah mengambil masa selama dua hingga lima jam untuk menyiapkan setiap motif itu yang bergantung kepada tahap kesukaran dan saiz.

“Sebagai contoh, corak paling sukar adalah untuk membuat sulaman bermotif singa yang mengambil masa sekitar empat jam bagi menyiapkannya.

“Sebelum membuat sulaman itu, saya akan membuat lakaran di atas kain terlebih dahulu,” ujarnya yang turut memiliki Diploma Rekaan Fesyen dari Universiti Saint Martin’s, London.

Mengulas lanjut mengenai penggayaan koleksi Kapsul Lunar itu, Hannah berkata, ia boleh dipakai di mana sahaja dan untuk apa jua aktiviti mengikut keselesaan masing-masing.

Antaranya, seperti dipakai untuk aktiviti bersukan dan kecergasan, digayakan sebagai persalinan di rumah dan boleh dipadankan dengan seluar jean.

 

SETIAP pakaian yang dikirimkan kepada pembeli akan dibungkus sebegini dengan disertakan beberapa kandungan yang menarik.

 

Baju tersebut juga boleh digayakan oleh pelbagai lapisan umur dan didatangkan dengan saiz S hingga L.

Dalam usaha membantu mereka yang memerlukan, sekumpulan sahabat itu turut menyerahkan kain-kain itu untuk dijahit oleh perlarian di pusat pelarian.

Setiap helai baju yang dijahit akan dibayar upah bagi meringankan bebanan kewangan mereka.