fbpx
Kashfi mengakui kebuntuan dalam menghasilkan busana-busana KRU bagi tiga segmen konsert Gen KRU, namun akhirnya berjaya dilunaskan setelah mencium tapak kaki ibunya semasa wanita itu mengaji al-Quran.

Busana KRU hasil cium tapak kaki ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERNAH hampir buntu menyiapkan busana persembahan pentas untuk konsert Gen KRU, pereka fesyen ini mengambil keputusan untuk berehat seketika bagi meredakan tekanan.

Meskipun sudah diberi penerangan tentang konsep dan perjalanan konsert, dia masih sukar untuk mendapatkan visual bagi sembilan rekaan yang ditetapkan buat ketiga-tiga ahli KRU iaitu Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edry Abdul Halim.

Menurut pereka fesyen, Kashfi Zulkufli, apa yang memberi tekanan buatnya adalah penerimaan lebih 9,000 peminat yang membanjiri stadium Axiata Arena, Bukit Jalil.

“Dalam mereka pakaian untuk KRU terdapat beberapa perkara yang perlu saya titik beratkan seperti kesesuaian mengikut segmen, bentuk badan dan gaya yang relevan buat trio adik beradik itu.

“Pada saat saya buntu untuk menyiapkan rekaan pakaian, saya pergi bercuti bersama ibu dan anak di Melaka, ketika itu, saya membuat sesuatu yang tidak diduga selama 13 tahun dalam industri iaitu mencium tapak kaki ibu semasa dia sedang mengaji selepas solat maghrib,” katanya ketika dihubungi CitaRasa.

Rekaan jaket sut dengan warna ungu cukup menyerlah di atas pentas dengan kemasan piping batuan memberi elemen eksklusif kasual kemas.

Tambahnya, atas kebesaran Allah dan berkat kasih ibu, tanpa disangka idea untuk rekaan pakaian datang mencurah-curah dan dia berjaya menyiapkan semua lakaran rekaan pada hari sama. Semua rekaan itu juga dipersetujui oleh pihak pengurusan untuk konsert Gen KRU.

Untuk pakaian yang direka Kashfi, dia menghasilkan persalinan untuk tiga set pakaian bagi tiga segmen dalam konsert berkenaan.

Antara gaya yang ditonjolkan adalah rekaan ala askar, sut berkemeja dan jaket tanpa lengan dengan perincian serta kemasan yang bersesuaian segmen, personaliti, kreadibiliti dan kisah perjuangan kumpulan KRU.

“Setiap rekaan simbolik kepada semua elemen yang membentuk KRU dan perjuangannya kekal bertahan dalam industri, kerana itu untuk salah satu rekaan saya memilih gaya ala tentera.

“Pakaian ala tentera ini simbolik perjuangan KRU dan keazaman mereka mewarnai industri muzik tempatan. Setiap rekaan juga mencerminkan identiti setiap ahli trio itu dan kemasannya juga mewujudkan pesona yang diperlukan ketika di atas pentas,” ujarnya.

Bagi pakaian tentera Kashfi menggabungkan beberapa elemen fabrik iaitu kain kapas bagi asas pakaian dan kulit yang dijadikan sebagai kaf lenga, tali pinggang dan sarung tangan. Kemasan pula dengan aksesori berwarna emas.

Bagi segmen seterusnya, jaket sut fabrik baldu direka dalam warna ungu yang amat menyerlah di atas pentas, kemasan piping batuan memberi elemen eksklusif kasual kemas.

Segmen ketiga ialah jaket vest, namun dijahit dengan lengan kemeja bagi memberi ilusi seperti memakai kemeja di dalamnya. Ia direka menggunakan fabrik kapas dengan perincian huruf KRU di bahagian belakang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN