TAMPIL dengan busana jenama mewah, penampilan memukau atau eksklusif dianggap hal biasa jika digayakan oleh selebriti.
Namun, berbeza dengan personaliti versatil Isyariana yang memilih untuk kekal dengan gaya sederhana dan tidak terlalu menonjol meskipun menyandang status anak seni.
Tatkala khalayak melihat fesyen dan artis itu ibarat isi dengan kuku, namun penyanyi dan pelakon berusia 35 tahun itu memilih hal sebaliknya.
Lebih selesa mengenakan pakaian oversize, seperti baju longgar dan seluar jenis cargo jeans menjadi antara pilihan fesyen harian dirinya.
Kata bekas peserta Akademi Fantasia 2016 itu, dia tidak terlalu mengikut arus fesyen semasa mahupun terikut-ikut dengan gaya selebriti antarabangsa.
Malah, Isyariana turut menegaskan pilihan gaya fesyen tidak berubah meskipun kini sudah tampil berhijab.
“Saya memilih gaya selesa dan mudah untuk bergerak sekiranya untuk keluar berjalan-jalan atau tidak terikat dengan aktiviti seni.
“Jika melibatkan soal kerja, saya akan mengenakan pakaian mengikut kehendak penganjur dan bersesuaian dengan acara.
“Sama ada sebelum berhijab atau tidak, saya memang suka memakai seluar cargo jeans kerana selesa, longgar dan memudahkan pergerakan,” katanya kepada CitaRasa.
Bagi acara rasmi, pemilik nama lengkap Isyariana Che Azmi ini tetap tampil bergaya dengan sentuhan peribadi.
Isyariana akan menyuntik elemen gaya kimono Jepun yang dianggap unik dan sesuai dengan identiti dirinya.
“Saya suka berdandan mengikut mood, tetapi pilihan gaya ialah ala kimono Jepun dengan memiliki potongan lurus dan labuh,” katanya.
Busana yang digayakan pada
acara karpet merah tayangan perdana filem Balas Balik baru-baru ini telah mencuri perhatian khalayak.
Selain itu merupakan kemunculan pertamanya mengenakan hijab, pesona wanita kelahiran negeri Pahang itu terserlah dengan mengenakan gaun moden gabungan dua tona warna.
Warna hitam pada bahagian atas dan krim di bawah memiliki potongan moden minimalis dengan lengan panjang dan leher tinggi (high neck) memberi sentuhan elegan dan sopan.
Sementara itu bahagian bawah gaun diserikan dengan potongan garis A (A-line) membuatkan penampilan Isyariana tampak mewah.
“Hitam merupakan warna kegemaran saya tidak mengira sama ada sebelum berhijab mahupun sekarang.
“Bagi saya warna hitam itu simbol elegan, mewah dan kelihatan klasik sementara warna krim pula lembut. Kedua-dua warna itu juga kelihatan sepadan,” katanya.
Tanpa mengenakan aksesori berlebihan, Isyariana mengenakan hijab hitam yang sepadan dengan gaun. Aksesori seperti subang labuh dan cincin besar memberikan sentuhan glamor tanpa berlebihan.
Fesyen itu tentu saja sesuai untuk digayakan pada acara rasmi mahupun karpet merah.
Selesa dengan penampilan sederhana, Isyariana sentiasa konsisten dengan gaya minimalis, namun tetap dilihat menarik.
Pemilihan material fabrik, potongan longgar serta gaya layering menjadi antara elemen penting dalam setiap penampilannya.















