fbpx

Panjat pondok enam meter demi ilmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PONDOK setinggi enam meter yang dibina Bot bagi memudahkan anaknya mengikuti PdPR di Tanjong Sepat, Kuala Langat.

KUALA LANGAT – Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Demikian kegigihan Mazrini Bot, 17, remaja perempuan Orang Asli suku Mah Meri yang mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di sebuah pondok kecil setinggi enam meter di halaman rumahnya di Kampung Sungai Belankan, Tanjong Sepat di sini.

Masalah internet turut memaksa pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Sepat itu membawa lampu suluh untuk mengikuti kelas tambahan secara maya pada sebelah malam.

Demi masa depan, Mazrini cekal menempuhnya dengan bersandarkan sokongan penuh bapanya, Bot Amin, 60, yang membina pondok kayu digelar sebagai ‘Rumah Ran’ sejak dua minggu lalu.

Anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu berkata, sebelum ini dia belajar di sebuah khemah di sekitar kawasan rumahnya sejak April tahun lalu.

“Bagaimanapun, saya kerap menghadapi masalah internet sehingga menyebabkan sesi pembelajaran terganggu.

“Pada Jun tahun lalu, bapa saya membina sebuah pondok kecil, namun masalah (internet) masih tidak dapat diatasi,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

MAZRINI mengulang kaji pelajaran di pondok digelar ‘Rumah Ran’.

Menurut Mazrini, kesulitan itu selesai selepas pondok lebih tinggi dibina bapanya hanya dalam tempoh seminggu dengan menggunakan kayu hutan.

“Walaupun terpaksa memanjat tangga dan panas, saya bersyukur kerana dapat belajar tanpa gangguan internet.

“Talian internet sememangnya agak perlahan kerana kawasan rumah saya terletak kira-kira 8 kilometer dari jalan utama,” kata pelajar aliran Sains Tulen itu.

Mazrini tekad mahu membalas jasa bapanya yang bekerja sebagai pengait kelapa sawit dengan memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI