fbpx

33 kompaun dikeluarkan di Sepang sejak PKP 2.0 dilaksanakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SEPANG – Polis Sepang telah mengeluarkan 33 kompaun sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikuatkuasakan bermula 13 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner, Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kebanyakan kompaun yang dikeluarkan di daerah ini adalah atas pelbagai kesalahan antaranya tiada penjarakan sosial, menaiki kenderaan melebihi had selain tidak menggunakan aplikasi MySejahtera.

Menurut beliau, dalam tempoh sama, polis telah menerima keseluruhan 28,099 permohonan rentas negeri.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 27,598 diterima manakala sebanyak 501 permohonan ditolak. Kebanyakan permohonan yang ditolak, atas sebab pelbagai alasan yang tidak munasabah.

“Memandangkan PKP 2.0 akan dilanjutkan sehingga 4 Mac, jadi saya meminta masyarakat supaya terus patuh prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang pandemik Covid-19 daripada terus meningkat,”katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini.

Terdahulu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang melaksanakan 10 sekatan jalan raya (SJR) di sekitar daerah itu bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Daripada jumlah SJR itu, empat daripadanya melibatkan SJR sempadan Negeri Sembilan, satu SJR Op Benteng dan lima SJR Lebuhraya.

PKP 2.0 yang dijadualkan tamat pada hari ini akan dikekalkan di empat negeri termasuk Selangor berikutan kes Covid-19 yang masih tinggi, berkuat kuasa selama dua minggu bermula 19 Februari hingga 4 Mac.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI