fbpx

Penolong pegawai JAINJ dituduh rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh, Nurul Hazlin Hashim (kanan) diiring penguatkuasa SPRM ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini hari ini.-Foto BAZLAN IBRAHIM

JOHOR BAHRU – Seorang penolong pegawai di Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM26,800.

Tertuduh, Nurul Hazlin Hashim, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan di depan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima suapan berjumlah RM12,800 daripada sebuah syarikat bagi mencadangkan agar syarikat itu diberikan projek Seminar Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Saudara Kita Negeri Johor 2019 di sebuah bank di Taman Mohd. Yassin, Simpang Renggam antara 27 hingga 29 Oktober 2019.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menerima suapan RM7,000 daripada syarikat sama bagi mencadangkan agar syarikat itu mendapat Program Santuni Orang Asli Siri 2/2019 di tempat sama pada 29 Oktober 2019.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh sekali lagi didakwa menerima suapan RM7,000 daripada syarikat sama sebagai dorongan untuk mencadangkan agar syarikat berkenaan diberikan projek bagi Program Santuni Orang Asli Siri 3/2019 di tempat sama pada 4 November 2019.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Nurul Hazlin didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Ahmad Kamal Arifin kemudian menetapkan tarikh 3 Mac untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI