fbpx

Perkeso terima 348 aduan penyalahgunaan PSU Penjana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerima sebanyak 348 aduan penyalahgunaan Program Subsidi Upah (PSU) dan penipuan dalam pembayaran bantuan subsidi upah di bawah Pakej Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, sebanyak 269 aduan terbabit telah diselesaikan dengan tiga aduan dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala 79 kes lagi masih dalam siasatan.

“Perkeso mengingatkan para majikan supaya bersikap jujur dalam mengemukakan permohonan PSU. Mana-mana majikan yang menyalahgunakan subsidi ini diminta berhubung dengan pihak Perkeso.

“Majikan yang tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, diminta untuk memulangkan bayaran PSU yang diterima. Majikan boleh membuat bayaran balik ke akaun MAYBANK 564427515459 (Perkeso SIP-Bayaran) dengan rujukan “Bayaran balik PSU”,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohammed Azman berkata, majikan bagaimanapun perlu mengisi borang persetujuan bayaran balik bantuan PSU/ERP dan mengemukakannya kepada Perkeso berserta bukti bayaran balik melalui e-mel [email protected] .

Terdahulu, beliau menerangkan, PSU merupakan bantuan kewangan kerajaan kepada majikan yang terjejas dalam aspek ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Menurut beliau, Perkeso telah membuat pembayaran RM13.5 bilion kepada golongan majikan yang layak menerima bantuan tersebut setakat ini.

Kata beliau, Perkeso komited memastikan bantuan kewangan yang diberikan kerajaan disalurkan dengan betul mengikut syarat yang telah ditetapkan.

Tegas beliau, Perkeso namun memantau setiap permohonan majikan dan tidak teragak-agak untuk melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat unsur penipuan atau penyalahgunaan bantuan tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI