fbpx

Zuraida gesa PDRM, KDN maklum perkembangan terkini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Transformasi CCTV perlu dilakukan di lokap seluruh negara, bagi memastikan ketelusan dan integriti anggota polis terus disanjung tatanan masyarakat.

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu memberi perkembangan terkini adakah lokap Balai Polis Pusat Miri sudah dilengkapi dengan televisyen litar tertutup (CCTV) yang boleh digunakan untuk tujuan merakam dan memantau tahanan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, perkembangan tersebut perlu dikemaskini susulan kejadian rogol yang melibatkan remaja berusia 16 tahun di dalam lokap tersebut sebelum ini.

“Saya terpanggil untuk mengulas mengenai kejadian yang berlaku terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun, yang dirogol oleh tahanan lain sewaktu ditahan di sebuah lokap balai polis di Miri, Sarawak pada Januari lalu.

“Bagi saya, kejadian hitam yang berlaku buat remaja ini tidak seharusnya didiamkan begitu sahaja walaupun beberapa pendakwaan sudah dilakukan di mahkamah terhadap pesalah dan anggota polis yang bertugas ketika kejadian itu berlaku sudah digantung tugas serta-merta,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, PDRM dan KDN perlu memberi perkembangan terkini apakah lokap tersebut sudah dilengkapi dengan CCTV yang boleh digunakan untuk tujuan merakam dan memantau tahanan, bagi mengelakkan kejadian sama berulang, memandangkan ini bukanlah kejadian pertama yang tidak diingini berlaku di lokap.

“Sampai bilakah CCTV yang hanya boleh digunakan untuk memantau sahaja akan digunakan di lokap ini dan di lokap-lokap lain. Saya berpandangan, transformasi CCTV perlu dilakukan di lokap seluruh negara, bagi memastikan ketelusan dan integriti anggota polis terus disanjung tatanan masyarakat.

“Kejadian rogol yang berlaku ini bagi saya adalah kejadian luar biasa, kerana ia berlaku di sebuah balai polis, yang menurut saya sebuah premis dibangunkan untuk tujuan menjunjung dan menegakkan undang-undang negara sepertimana sumpah keramat dan janji setia pasukan polis,” jelasnya.

Katanya lagi, dia juga memberi cadangan agar kerajaan pusat menerusi peruntukan yang ada meningkatkan lagi hukuman dan seksaan bagi pesalah-pesalah seperti ini, yang bukan sahaja melakukan kesalahan merogol tetapi turut mencemarkan institusi dan adicita pasukan polis sekaligus berperanan sebagai langkah pencegahan supaya masyarakat tidak melakukannya lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI