fbpx
ABDUL BASITH (kanan) ketika mengunjungi dan menyerahkan sumbangan kepada keluarga seorang penduduk di Tanjung Karang, Selangor yang terlibat kemalangan jalan raya baru-baru ini.

20,000 bakal mohon bantuan zakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) sejak awal tahun ini bukan sahaja mengekang perkembangan sektor ekonomi, malah turut menjejaskan punca pendapatan hampir kesemua kumpulan masyarakat.

PKP 2.0 yang dilaksanakan bagi membendung penularan pandemik Covid-19 turut memberi tempias kepada kehidupan harian rakyat, sehinggakan ada yang kehilangan pekerjaan selain perniagaan yang diusahakan terpaksa ditutup.

Justeru, Lembaga Zakat Sela­ngor (LZS) menjangkakan sebanyak 20,000 permohonan baharu bantuan zakat bakal di­terima pihaknya daripada rakyat di ne­geri ini yang bermula pada pertengahan bulan ini.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Abdul Basith Hamid berkata, ini berikutan masih ramai rakyat terjejas termasuk ada perniagaan mereka terpaksa gulung tikar sehingga memberikan kesan kepada pendapatan harian.

Katanya, pada tahun lalu, sebanyak 40,000 permohonan diterima untuk Bantuan Khas Covid-19 dengan 29,000 permohonan berjaya disantuni.

Untuk rekod, sebanyak RM300 juta diperuntukkan LZS untuk bantuan zakat pada tahun lalu, manakala RM400 juta pula untuk tahun ini.

“LZS beranggapan tempias daripada PKP akan bermula pada pertengahan bulan Feb­ruari hingga April ini memandang­kan pada November dan Di­sember tahun lalu, rakyat masih mempunyai wang simpanan.

“Selepas simpanan kurang atau habis, reaksi masyarakat yang terjejas akan timbul dan sudah pasti mereka memerlukan bantuan daripada institusi zakat selain agensi kebajikan sedia ada.

“Kita menjangkakan jumlah permohonan meningkat antara 10,000 hingga 20,000,” katanya kepada Kosmo!.

Jelasnya, buat masa ini pe­ningkatan itu tidak drastik ekoran PKP 2.0 memberi kelonggaran kepada sektor ekonomi dan industri tidak ditutup dengan kebenaran 30 peratus pekerja seterusnya mengelak pengurangan gaji atau pemberhentian pekerja.

Ujar Abdul Basith, peruntukan agihan zakat seba­nyak RM400 juta pada tahun ini merangkumi bantuan asasi kepada fakir miskin, mualaf meliputi bantuan sara diri bulanan, bantuan sewa rumah, pendidikan, persediaan hari raya dan sebagainya.

“Ini termasuklah asnaf gharim (yang terhutang) kerana keperluan hidup dan peruntukan agihan zakat akan ditambah bergantung kepada bilangan permohonan terutama pada bulan Februari hingga April nanti.

“Selain itu, kita telah pun mendaftar 50 keluarga asnaf fakir miskin yang baharu bagi tempoh PKP 2.0 setakat ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN