PETALING JAYA – Permintaan terhadap kereta-kereta terpakai yang berharga bawah RM10,000 meningkat sejak kebelakangan ini didorong oleh faktor kemampuan kewangan yang terhad dan keadaan ekonomi yang tidak stabil susulan pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu.
Selain dianggap sebagai menjimatkan, rata-rata pembeli mengakui tidak sanggup lagi untuk menanggung hutang pinjaman bank yang terlalu lama apabila memilih untuk mendapatkan kenderaan baharu.
Malah, tinjauan turut mendapati, ada kalangan pengguna yang sanggup menukar kereta mewah mereka semata-mata untuk membeli kereta terpakai yang berharga bawah RM10,000 bagi keperluan harian.
Pemilik syarikat jualan kenderaan ABL Motokarz Resource, Hasbullah Abdullah berkata, antara kereta terpakai yang mendapat permintaan ramai adalah jenis Proton, Perodua, Toyota dan Nissan.
“Permintaan ini bertambah sejak akhir tahun lalu. Ramai cari kereta terpakai yang masih elok berharga bawah RM10,000.
“Sebahagiannya mahu menukar kereta berjenama kepada kereta terpakai yang jimat penggunaan petrol. Mungkin disebabkan oleh faktor ekonomi,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Bagaimanapun kata Hasbullah, pihaknya berhadapan dilema bagi memenuhi permintaan terbabit kerana kekurangan stok bagi kereta-kereta terpakai bawah RM10,000.
“Saya tidak menolak kemungkinan ada kalangan pembeli yang sanggup menggunakan duit pengeluaran i-Sinar untuk membeli kereta-kereta terpakai bagi tujuan berniaga atau bekerja.
Jelas beliau, kereta kini merupakah keperluan yang penting rakyat dan bukan lagi bersifat kemewahan.
Pemilik Apul Maju Enterprise, Saiful Bahri Shariff pula berkata, ramai pelanggannya mencari kereta terpakai yang berharga bawah RM10,000 atau RM5,000.
“Saya percaya situasi itu mungkin disebabkan ramai yang mahu mengurangkan komitmen mereka atau kesukaran mendapatkan pinjaman bank bagi membeli kereta baharu,” katanya.
Bagi perunding jualan kereta terpakai di Johor Bahru, Haikal Lew Abdullah, kebanyakan pengguna memilih kereta jenis jimat minyak seperti Perodua Viva, Myvi serta Proton Saga dan Waja.
Jelasnya, kenderaan terpakai yang berharga bawah harga RM10,000 kebiasaan kereta yang dibuat pada tahun 2004 hingga 2010.
Katanya, kereta-kereta ini dibeli secara tunai untuk kegunaan harian atau untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.
“Tidak semua datang dan beli terus, kebanyakan mereka datang untuk survey harga, tengok keadaan kereta dan sebagainya.
“Ada yang datang cakap nak pakai untuk harian, ada juga yang datang sebab nak buat bisnes dan lain-lain,” katanya.
Sementara itu, sebanyak 30 peratus daripada pelanggan di premis kereta terpakai di Pulau Pinang memilih untuk membeli kereta jenis Proton Waja dan Wira pada harga bawah RM10,000 bagi mengelak dibebani hutang.
Tinjauan di empat buah premis kereta terpakai di daerah Barat Daya dan Timur Laut mendapati, kereta keluaran syarikat tempatan pada tahun 2004 dan 2005 kini menjadi pilihan utama golongan isi rumah B40 sebagai kenderaan pertama mereka dan dibelikan secara tunai.
Perkara tersebut dikatakan berlaku sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu menyebabkan ramai pekerja swasta dan peniaga terjejas teruk.
Seorang penasihat jualan kereta terpakai, Rahim Ahmad berkata, kereta jenis Wira dan Waja kini jadi pilihan dan mendapat sambutan tinggi dalam kalangan pelanggan disebabkan harga berpatutan dan ruang dalamannya yang dianggap selesa untuk sebuah keluarga.
“Majoriti pelanggan adalah pekerja kilang yang terjejas akibat PKP dan hanya mampu membeli kereta pertama mereka pada harga RM10,000.
“Pelanggan mengatakan yang mereka lebih selesa memilih kereta Proton Waja dan Wira disebabkan ruangnya yang besar dan muat untuk lima hingga enam keluarga termasuk anak-anak kecil berbanding Perodua Kancil manual yang dipasarkan pada harga RM3,500.-K! ONLINE














