fbpx

Bekas imam sedekah 600 nasi lemak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Seorang bekas imam masjid di Kota Samarahan, Sarawak meneruskan legasi perniagaan nasi lemaknya de­ngan menyediakan sebanyak 600 bungkus makanan itu secara percuma di sebuah gerai di Seksyen 18 di sini.

Inisiatif murni Mohd. Ali Jainneh, 31, itu akan dilaksanakan sehingga Ahad ini dengan meliputi pemberian 100 bungkus nasi lemak sehari kepada orang ramai.

Dia yang juga bekas pensyarah sambilan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, perniagaan Nasi Lemak Jambatan Tamparuli itu diusahakannya di sekitar Kota Samarahan dan Kuching, Sarawak sejak 2016.

“Namun, saya memutuskan untuk berhijrah selepas isteri yang bertugas sebagai guru ditukarkan ke Shah Alam sejak tiga minggu lalu.

“Justeru, saya mahu meneruskan perniagaan dengan turut memberi nasi lemak percuma itu selama enam hari,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Tambahnya, sumbangan itu disifatkan sebagai berkongsi rezeki dalam sama-sama membantu meringankan beban golo­ngan kurang berkemampuan.

Menurut anak kelahiran Tamparuli, Sabah itu, dia mengalu-alukan sumbangan mana-mana pihak bagi membantunya menyediakan nasi lemak percuma tersebut.

“Buat masa ini, saya hanya menjual lauk telur dan ayam goreng berempah kepada pe­langgan kerana masih menunggu beberapa peralatan lain tiba dari Sarawak.

“Jika semuanya berjalan lancar, lauk seperti sambal paru, sotong dan petai turut akan dijual kelak,” katanya.

Pada Ogos tahun lalu, tindakan murni Mohd. Ali turut tular di media sosial apabila memberi ayam goreng kepada seekor anjing yang kerap datang ke gerai­nya di Sarawak.

Difahamkan, anjing terbiar itu kadangkala turut beratur untuk menunggu makanan tersebut sehingga mendapat pelbagai reaksi positif netizen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI